MALAYSIA
AAIMS2025 : Lima tonggak pacu Malaysia ke arah negara AI - PM Anwar

Anwar menegaskan, aspirasi Malaysia adalah menjadi sebuah negara AI di mana teknologi ini bukan sekadar dimanfaatkan hanya segelintir pihak. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia komited membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang inklusif, beretika dan selaras dengan nilai bersama, berteraskan lima tonggak utama di bawah Kerangka AI Negara.
Ringkasan AI
- Malaysia komited membangunkan ekosistem AI yang inklusif dan beretika, berasaskan lima tonggak utama: dasar berpandangan jauh, tenaga kerja celik digital, infrastruktur selamat, kepercayaan digital, dan pelaburan strategik.
- Kerangka AI Negara akan memacu Ekonomi MADANI, menjadikan AI sebagai teknologi yang dipercayai, inklusif dan berfungsi untuk meningkatkan tadbir urus serta taraf hidup rakyat.
- Transformasi digital dijadikan pemacu pertumbuhan mampan dan inklusif, selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara AI terkemuka.
“Tonggak-tonggak ini akan memacu Ekonomi MADANI, menjadikan AI sebagai teknologi yang maju, inklusif, dipercayai, dan dibina untuk tujuan yang jelas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 (AAIMS2025), di sini pada Selasa.
Anwar menegaskan, aspirasi Malaysia adalah menjadi sebuah negara AI di mana teknologi ini bukan sekadar dimanfaatkan hanya segelintir pihak.
Sebaliknya kata beliau, ia perlu menjadi pemacu kepada tadbir urus yang lebih baik, mencetuskan inovasi serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh pelosok negara.
Menurut Anwar lagi, transformasi digital mesti menjadi pemacu pertumbuhan mampan dan inklusif, selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dilancarkan baru-baru ini.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar, termasuk dalam kalangan pelajar institusi agama tradisional, adalah cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan transformasi digital memberi manfaat kepada semua rakyat.
Beliau berkata, kegagalan mengatasinya akan mewujudkan perbezaan ketara antara mereka yang menguasai disiplin baharu dengan mereka yang langsung tidak mengetahuinya, sekali gus tidak mampu meningkatkan taraf hidup atau kekal relevan.
“Mereka akan menjadi tidak mampu untuk mencabar secara berkesan demi meningkatkan taraf hidup rakyat. Cabaran masa kini berbeza, iaitu bagaimana memastikan masyarakat yang tidak terdedah kepada teknologi tidak terus ketinggalan.
“Isu ini bukan sahaja membabitkan jurang antara kaya dan miskin, tetapi juga dalam sesebuah negara itu sendiri, termasuk antara kelompok yang mahir teknologi dan mereka yang langsung tidak mempunyai akses,” katanya lagi.
Mengenai ASEAN, Anwar berkata, dengan lebih 700 juta penduduk, ekonomi digital yang berkembang pesat serta kepelbagaian budaya dan bahasa yang luar biasa, rantau ini berada pada kedudukan unik untuk membentuk AI dengan cara yang inklusif, beretika dan selaras dengan nilai-nilai bersama.
Tambah beliau, jika rantau ini mendepani peluang berkenaan dengan pandangan jauh dan keberanian, AI mampu merapatkan jurang pembangunan, memperkasa perusahaan kecil, memajukan komuniti luar bandar, mengukuhkan perkhidmatan awam serta memperluas akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan keadilan untuk semua.
“Oleh itu, kita mesti berani dan berprinsip. Visi kita mestilah memanfaatkan AI bukan sekadar untuk mengejar negara lain, tetapi untuk memimpin dengan menawarkan model inovasi yang berlandaskan kepercayaan, berpaksikan kesaksamaan dan dibentuk dengan bangga dengan nilai-nilai Asia Tenggara.
“Dengan cara ini, kita akan memastikan ukuran sebenar kejayaan AI bukan terletak pada kecanggihan teknologinya, tetapi pada keupayaannya untuk benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat kita secara mampan, inklusif dan adil,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melancarkan model bahasa skala besar atau large language model (LLM) 100 peratus buatan tempatan yang dinamakan ILMU.
ILMU merupakan model bahasa skala besar multimodal yang dibangunkan sepenuhnya rakyat Malaysia, dengan latihan berteraskan konteks serta budaya tempatan.
Menariknya, ILMU diiktiraf sebagai model terbaik dunia bagi Bahasa Melayu, sekali gus setanding dengan model terkemuka global seperti GPT-4o, DeepSeek-v3 dan Llama 3.1 dalam pelbagai penanda aras utama.
Seratus peratus buatan Malaysia, hasil kepakaran rakyat tempatan, ILMU menjadi lambang kemampuan negara bersaing di pentas AI dunia dan bukti keyakinan Malaysia dalam mendepani masa depan teknologi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami