MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengetuai delegasi kerajaan Melaka bersama-sama rakan strategik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyertai Smart City Expo World Congress 2023 (SCEWC 2023) yang berlangsung di Fira de Barcelona, Sepanyol pada 7 hingga 9 Nov lepas.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, SCEWC yang diadakan di Barcelona sejak 2011 merupakan ekspo terbesar dan paling berprestij di dunia dalam bidang inovasi perbandaran dan bandar raya pintar.

"Ekspo ini menghimpunkan lebih 1,000 syarikat antarabangsa dari 140 negara yang mempunyai kepakaran dalam bidang inovasi perbandaran dan bandar raya pintar," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sempena ekspo itu, Ab Rauf turut mengambil peluang memperkenal inisiatif pintar dilaksanakan kerajaan negeri seperti digariskan dalam kerangka Smart Melaka Blueprint 2035, juga bertepatan dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).

"Ab Rauf juga diberikan penghormatan mempengerusikan perbincangan Sesi Meja Bulat anjuran MDEC dan disertai beberapa pemimpin perniagaan dan industri dari Malaysia dan Barcelona.

"Ia turut disertai oleh rakan-rakan strategik MDEC, yang antara lain bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai hab digital bagi penyelesaian bandar pintar di ASEAN," menurut kenyataan itu.

Turut menyertai sesi itu ialah Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan, Industri dan Pelancongan Sepanyol Elisa Carbonell; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd Dr Nadzdiana Ab Wahab.

"Penyertaan delegasi kerajaan negeri itu membuktikan komitmen Melaka untuk berada di barisan hadapan dalam melaksanakan inisiatif penyelesaian bandar pintar, termasuk mempromosikan platform dalam talian bersepadu untuk semua perkhidmatan kerajaan negeri menerusi Melaka Super Apps.

"Di bawah kerangka Smart Melaka Blueprint 2035, kerajaan negeri kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif pintar termasuk memanfaatkan Analisis Data Raya, memperkasakan Melaka Command Center serta melaksanakan projek perintis Kampung Digital sebagai penyelesaian sistem penyampaian perkhidmatan di kawasan luar bandar," menurut kenyataan itu. - BERNAMA