NATIONAL
'Abang Belon' nafi terima tiga kali teguran sebelum dikasari penguat kuasa

Tangkap layar peniaga belon atau kini dikenali sebagai 'Abang Belon' yang kini menerima rawatan di hospital.
SHAH ALAM: Seorang peniaga belon atau 'Abang Belon' menafikan dakwaan dirinya telah menerima teguran sebanyak tiga kali daripada petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum dikasari seperti yang dilaporkan pada Sabtu.
Dalam satu video yang dikongsi oleh pegawai Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, peniaga tersebut meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan didakwa palsu yang dibuat oleh pihak berkenaan.
“Tak betul kerana saya sendiri takut dengan mereka. Saya pula berniaga tiada lesen, kalau saya jumpa mereka pasti barang kena rampas,” katanya dalam rakaman tersebut.
Pada Sabtu, DBKL mengatakan telah memberi teguran sebanyak tiga kali kepada peniaga belon tidak berlesen yang didakwa dikasari petugas di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini pada Jumaat.DBKL memaklumkan, penjaja tersebut mula bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila dia menolak petugas penguat kuasa ketika teguran ketiga diberikan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan anggota penguat kuasa berpakaian preman menenangkan dan cuba memisahkan penjaja terbabit daripada mengasari petugas untuk mengelakkan kemungkinan lain daripada berlaku.
Menurut peniaga itu lagi, dia sememangnya berniaga tanpa lesen kerana tidak mengetahui proses permohonan yang betul.
“Saya memang nak mohon lesen tetapi tidak tahu prosesnya. Saya pula ada penyakit angin ahmar jadi dengan berniaga inilah untuk tampung perbelanjaan sikit-sikit. Lagipun nak raya kan.
“Saya pula ada adik-adik yang masih bersekolah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, peniaga belon terbabit turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan statusnya dirinya bukan warganegara.
Ujarnya, dia merupakan rakyat Malaysia yang berasal daripada Jerantut, Pahang yang hanya tahu dan minat berniaga selain menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan utama.
“Sekarang ini situasi saya, tulang belakang patah. Saya mohon kepada Datuk Seri untuk bantu saya dapatkan lesen kerana saya ada kemahiran berniaga sahaja,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami