KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Awam Sarawak mendiang Datuk Seri Ambrose Blikau Enturan, di kediamannya di Jalan Kedandi, Tabuan Dusun di sini.

Beliau tiba di kediaman mendiang kira-kira pukul 3.10 petang, sebelum meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama keluarga mendiang.

Abang Johari berkata mendiang merupakan seorang pemimpin yang hebat dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), serta telah banyak menyumbang jasa kepada rakyat ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Katibas selama sembilan penggal, sebelum mengumumkan untuk bersara pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang lepas, atas faktor kesihatan.

"Ambrose merupakan seorang rakan seperjuangan, sahabat dan pemimpin PBB yang hebat... bersama-sama pemimpin Iban yang lain berjuang mempertahankan PBB, dalam cara bagaimana kita harus mentadbir negara berbilang kaum," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di sini, hari ini.

Ambrose, 70, telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.05 pagi pada Sabtu di Pusat Pakar Perubatan Normah akibat jangkitan paru-paru dan akan disemadikan pada Isnin ini di Nirvana Park Kuching.

Dilahirkan pada 22 Jun 1953, mendiang meninggalkan isteri Datin Seri Marie Theresa Mathias serta dua orang anak lelaki, seorang anak perempuan serta lapan orang cucu.

Selain menjadi wakil rakyat seawal usia 26 tahun, sepanjang perkhidmatan beliau selama lebih 40 tahun, mendiang juga pernah memegang jawatan menteri muda dari tahun 1987 sehingga 2006.

-- BERNAMA