KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuarakan penghargaan dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana melaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekitar hujung tahun lepas.

"...bagi pihak Kerajaan Sarawak, memang hasrat kita untuk memperkuat kewujudan negara kita dengan meningkatkan pembangunan bandar dan luar bandar mengikut perubahan zaman," katanya ketika berucap sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Abang Johari menyertai acara zumba di sekitar Tebingan Kuching sebelum berjalan melalui Jambatan Darul Hana menerusi program Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia, dan turut bersama beliau adalah barisan menteri kabinet Sarawak, serta ketua-ketua jabatan termasuk Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Jaafar Jantan, dan juga kira-kira 300 Keluarga Malaysia.

Pada 22 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 yang bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan agenda transformasi kerajaan itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga Ahli Parlimen, Disember lepas.

-- BERNAMA