KUALA LUMPUR: Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) baharu, berkuat kuasa 1 Julai, 2024.

PNB dalam satu kenyataan berkata Abdul Rahman telah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB dari 2016 hingga 2019, yang mana beliau memainkan peranan penting dalam memacu transformasi strategik PNB.

Beliau pada masa ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) CIMB Group dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Bhd sejak 2020.

"Abdul Rahman membawa bersamanya lebih 20 tahun pengalaman dalam kepimpinan di pelbagai perkhidmatan kewangan dan sektor korporat, termasuk Malaysian Resources Corporation Bhd, Media Prima Bhd dan Ekuiti Nasional Bhd," katanya.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Sime Darby Berhad dan Velesto Energy Berhad.

"Lembaga pengarah PNB mengalu-alukan kepulangan beliau untuk menyediakan kesinambungan dan memacu pelaksanaan pelan strategik PNB yang baru dibangunkan serta membantu melaksanakan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi," tambahnya.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, CIMB Group Holdings Bhd mengumumkan Abdul Rahman akan melepaskan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan itu pada 30 Jun, 2024.

Bagi memudahkan peralihan dalam pengurusan, Datuk Mohd Nasir Ahmad yang pada asalnya akan bersara pada Julai 2024, akan kekal sebagai pengerusi kumpulan, dan dilantik semula sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif, berkuat kuasa 20 Julai, 2024.

"CIMB Group memiliki pelan penggantian yang mantap, yang telah diaktifkan dan lembaga pengarah akan mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group yang baharu dalam masa terdekat, sebaik sahaja kelulusan kawal selia diterima," kata kumpulan perbankan itu.

Mohd Nasir berkata Abdul Rahman telah melakukan tugas yang cemerlang, memacu transformasi CIMB di bawah pelan strategik Forward 23+ dan telah memainkan peranan penting dalam meletakkan CIMB pada kedudukan yang kukuh sebagai bank berfokuskan Asean terkemuka.

Di bawah kepimpinan Abdul Rahman, beliau berkata kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam prestasi kewangan, mengukuhkan daya tahan operasi, mempercepatkan inisiatif digitalnya, meningkatkan tahap kemampanan, serta membantu menyemai budaya CIMB yang kukuh.

"Bagi pihak lembaga pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Abdul Rahman atas segala sumbangannya kepada kumpulan dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau untuk peranan yang seterusnya," tambahnya.

-- BERNAMA