KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Abu Tariq Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif HASiL yang baharu berkuat kuasa 17 Disember 2023. Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Nizom Sairi yang telah tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada 16 Disember 2023.

Mohd Nizom telah berkhidmat selama 38 tahun di HASiL dan telah menyumbang kepada kecemerlangan organisasi ini selama bergelar Hasilian. Antara sumbangan signifikan beliau adalah memperkenalkan konsep AES (awareness, education and services) bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan di HASiL. Ia bertujuan untuk membina kembali kepercayaan masyakarat terhadap sistem percukaian langsung negara.

Selain itu, di bawah kepimpinan Mohd Nizom, HASiL telah merekodkan pencapaian kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah negara pada tahun 2022, iaitu pada angka RM175.4 bilion. HASiL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di HASiL.

HASiL turut mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan Abu Tariq sebagai KPE HASiL yang baharu. Beliau yang memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian (LLB. Hons) daripada Universiti Malaya, mula berkhidmat di HASiL pada 15 Mac 1995 dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang percukaian langsung merangkumi perundangan dan pematuhan cukai.

Sebelum menjawat portfolio Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Abu Tariq juga pernah memegang beberapa jawatan penting di HASiL merangkumi jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) dan Pengarah Jabatan Undang-Undang.

Dengan pengalaman luas Abu Tariq ini sudah pastinya akan membolehkan HASiL mencapai visi untuk menjadi Pentadbir Cukai Terunggul selari dengan aspirasi membina Malaysia MADANI demi kesejahteraan rakyat.

--BERNAMA