SHAH ALAM: Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman yang meninggal dunia pada Sabtu lalu diterbangkan pulang ke tanah air pada Khamis.

Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan berkata, pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Rafik Hariri, Beirut, Lubnan pada jam 12.05 tengah hari waktu Lubnan atau 5.05 petang waktu Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi urusan pengebumian di kampung halaman Allahyarham di Pendang, Kedah.

Menurut kenyataan itu, majlis Penghormatan Jenazah Allahyarham Faridah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri.

“Ketibaan jenazah Allahyarham turut disambut oleh Kontinjen MALBATT 850-11 serta suasana hiba dapat dirasakan apabila jenazah diturunkan dari van jenazah dan diusung masuk.

“Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Khamis.


Majlis tersebut dihadiri Komander UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro; Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yaacob; Panglima 5 Briged (LAF), Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh; Komander Sektor Barat, Brigedier Jeneral Enrico Fontana serta Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni.

Markas Angkatan Bersama memaklumkan, upacara dimulakan dengan pengurniaan pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pingat Keberanian Tentera Lubnan (Gangsa) kepada Allahyarham Faridah.

Kata kenyataan itu, Lazaro meletakkan pingat PBB sebagai pengiktirafan atas pengorbanan Allahyarham sepanjang berkhidmat di bawah panji-panji PBB dan disusuli dengan Ahmad Saadeh, wakil LAF meletakkan pingat Lubnan sebagai tanda penghargaan daripada Kerajaan Lubnan.

“Upacara diteruskan dengan meletakkan kalungan bunga dimulakan oleh Komander UNIFIL dan disusuli Duta Besar Malaysia ke Lubnan, wakil LAF, Komander Sektor Barat dan Komander MALBATT.

“Suasana di medan bertukar hening dan pilu seketika semasa tiupan sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham Sarjan Faridah,” ujarnya.

Kata Markas Angkatan Bersama, upacara diakhiri dengan bendera UNIFIL dilipat oleh anggota MALBATT dan doa dibacakan sebelum keranda Allahyarham yang dilitupi Jalur Gemilang, diusung keluar dari medan dan dibawa ke tempat penyimpanan kargo untuk diterbangkan ke Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan Allahyarham rebah dan tidak sedarkan diri ketika turun dari bas di Kem Marakah, kira-kira jam 7.25 pagi waktu Malaysia.

Beliau berkata, Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, baru kembali ke Lubnan selepas selesai bercuti di Malaysia. -Sinar Harian