Skip to main content

Malaysia

Ada ijazah, belum tentu hidup lebih baik daripada ibu bapa - Pakar ekonomi

Dr Muhammed Abdul Khalid turut mempersoalkan kemampuan ekonomi negara menyediakan pekerjaan berkualiti yang mencukupi untuk menampung pertambahan graduan. -Gambar hiasan/Imej janaan AI
Dr Muhammed Abdul Khalid turut mempersoalkan kemampuan ekonomi negara menyediakan pekerjaan berkualiti yang mencukupi untuk menampung pertambahan graduan. -Gambar hiasan/Imej janaan AI

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kelayakan pendidikan lebih tinggi tidak semestinya menjamin generasi hari ini menikmati taraf hidup lebih baik berbanding ibu bapa mereka.

Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammed Abdul Khalid berkata keadaan itu mencerminkan cabaran mobiliti sosial negara.

Menurutnya, peningkatan tahap pendidikan tidak semestinya disertai peluang pekerjaan berkualiti dan pendapatan yang setimpal.

Beliau mengambil contoh fenomena déclassement di Perancis, iaitu penurunan status sosioekonomi seseorang berbanding generasi terdahulu.

Beliau melihat persamaan cabaran antara kedua-dua negara, khususnya apabila pendidikan tinggi tidak semestinya menjamin pekerjaan dan pendapatan lebih baik.

“Mobiliti sosial menurun. Pendidikan tidak membantu meningkatkan kedudukan sosial mereka,” katanya ketika menjelaskan maksud fenomena berkenaan.

Beliau berkata demikian pada forum Bicara Persada “Belanjawan 2027 – Menjaga Poket Rakyat, Mengukuh Kantung Negara” di UKM, di sini, hari ini.

Muhammed turut mendakwa gaji benar graduan baharu di Malaysia merosot 11 peratus berbanding 2019 selepas mengambil kira inflasi.

“Malah, gaji graduan tahun lalu lebih rendah berbanding mereka yang tamat pengajian pada 2019. Selepas diselaraskan dengan inflasi, nilai sebenar gaji mereka merosot 11 peratus,” katanya.

Image
51596684592_DrMuhammedAbdulKh.jpg
Muhammed turut mendakwa gaji benar graduan baharu di Malaysia merosot 11 peratus berbanding 2019 selepas mengambil kira inflasi.

Beliau turut mempersoalkan kemampuan ekonomi negara menyediakan pekerjaan berkualiti yang mencukupi untuk menampung pertambahan graduan.

Menurutnya, cabaran itu perlu ditangani dari dua sudut, iaitu kualiti pendidikan serta permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran.

Muhammed turut membangkitkan kelemahan penguasaan Matematik dan penyertaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai antara cabaran pendidikan negara.

Beliau berpandangan kelemahan itu berisiko melebarkan jurang pendapatan sekiranya hanya sebahagian pelajar memperoleh kemahiran yang diperlukan industri.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pertumbuhan pelaburan perlu disertai penciptaan pekerjaan berkualiti, bukan sekadar pembangunan industri tanpa peluang pekerjaan yang setimpal.

“Ini penting untuk mewujudkan pekerjaan yang baik dan menarik pelaburan. Pelabur domestik serta asing memerlukan keyakinan dan kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.

Sebagai gambaran, Statistik Siswazah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kira-kira 1.60 juta siswazah bekerja dalam pekerjaan separuh mahir atau berkemahiran rendah.

Jumlah itu mewakili 32.2 peratus siswazah bekerja, sekali gus memperlihatkan cabaran ketidakpadanan antara kelayakan akademik dengan pekerjaan.

Bagaimanapun, kadar pengangguran siswazah menurun kepada 3.2 peratus pada 2024, manakala gaji median bulanan siswazah meningkat kepada RM4,521.

Justeru, Muhammed berpandangan keberkesanan pendidikan perlu dinilai bukan sekadar melalui jumlah graduan, tetapi juga kemampuan ekonomi menyediakan pekerjaan yang membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup.


 

Must Watch Video

Advertisement