Skip to main content

Politik

PN masih sah, keputusan penangguhan demi kepentingan awam - Peguam

Munurut Siddiq Azani, mahkamah membenarkan permohonan khas penangguhan kerana menunggu keputusan semakan kehakiman dibuat berdasarkan mudarat besar yang bakal berlaku terhadap pentadbiran negara serta hak pengundi sekiranya perintah itu tidak diberikan.
Munurut Siddiq Azani, mahkamah membenarkan permohonan khas penangguhan kerana menunggu keputusan semakan kehakiman dibuat berdasarkan mudarat besar yang bakal berlaku terhadap pentadbiran negara serta hak pengundi sekiranya perintah itu tidak diberikan.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dibuat atas pertimbangan kestabilan politik dan kepentingan awam, khususnya kedudukan Perikatan Nasional (PN) yang kini mentadbir empat negeri.

Peguam PN merangkap Exco Pemuda Parti Wawasan Negara, Siddiq Azani menolak sekeras-kerasnya naratif pihak tertentu yang mendakwa gabungan pembangkang itu sudah terbatal susulan tindakan penguatkuasaan RoS sebelum ini.

Tegas beliau, mahkamah membenarkan permohonan khas penangguhan kerana menunggu keputusan semakan kehakiman dibuat berdasarkan mudarat besar yang bakal berlaku terhadap pentadbiran negara serta hak pengundi sekiranya perintah itu tidak diberikan.

“Jika penangguhan (stay) tidak diberikan, ia akan menjejaskan kedudukan PN di seluruh negara, di mana PN merupakan kerajaan yang mentadbir empat negeri dan sebahagian kerajaan di Negeri Sembilan.

“Prejudis paling besar adalah jika stay tidak diberikan, rakyat Melaka dinafikan hak untuk mengundi PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Sedangkan jika stay diberikan, ia tidak memprejudiskan RoS dan Menteri Dalam Negeri pun,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Jelas Siddiq, hakim Mahkamah Tinggi belum membuat sebarang penilaian substantif sama ada notis pembatalan oleh RoS itu sah atau sebaliknya.

“Jadi tidak benar jika kata PN sudah batal, sebab keputusan hakim semalam jelas menyatakan mahkamah belum membuat penilaian sama ada notis pembatalan itu sah atau tidak. Maka apabila stay diberikan, notis pembatalan oleh RoS itu tidak ada kesan (no effect),” tegas beliau.

Kenyataan Siddiq itu dibuat bagi menjawab pendirian Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid yang mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi tidak mengubah hakikat bahawa pendaftaran PN sebenarnya telah terbatal akibat kekhilafan pentadbiran gabungan yang mengenepikan Bersatu.

Dalam pada itu, Siddiq turut membidas dakwaan pihak Armada Bersatu kononnya Setiausaha Agung (SUA) PN melanggar perlembagaan gabungan secara sengaja apabila tidak menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu.

Mendedahkan punca sebenar, Siddiq berkata langkah berhati-hati itu terpaksa diambil selepas empat Ahli Parlimen Bersatu sendiri membuat aduan rasmi kepada RoS pada 13 Julai berhubung masalah korum parti mereka, namun pucuk pimpinan Bersatu didakwa enggan memberikan penjelasan bertulis kepada PN.

“SUA PN bukan bertindak sesuka hati. Apabila SUA PN dimaklumkan oleh empat Ahli Parlimen Bersatu bahawa mereka telah membuat aduan kepada RoS berkenaan isu korum Bersatu, SUA PN telah menulis surat kepada SUA Bersatu pada 14 Julai memohon penjelasan.

“Dalam surat tersebut, SUA PN meminta penjelasan bagi memastikan isu korum Bersatu tidak menjejaskan keabsahan mesyuarat Majlis Tertinggi PN sekiranya wakil Bersatu hadir. 

"SUA PN memberikan tempoh dua hari untuk SUA Bersatu menjawab, namun amat malang SUA Bersatu cuma memberikan 'blue tick' sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan tidak menjemput Bersatu pada ketika itu adalah bagi menjamin keabsahan mesyuarat.

Perkara itu, katanya, dibuktikan apabila Bersatu dijemput semula bagi menghadiri mesyuarat pada 20 September selepas RoS mengesahkan tiada sebarang isu korum dalam parti berkenaan.

“Jika pada 14 Julai lalu SUA Bersatu menjawab surat SUA PN dan menjelaskan mengenai isu korum, maka sudah tentulah Bersatu akan dijemput ke mesyuarat seterusnya dan semua masalah ini tidak timbul.

“Perkara ini jelas apabila selepas RoS menjawab aduan empat Ahli Parlimen Bersatu dan mengesahkan bahawa tiada isu korum dalam Bersatu, SUA PN kemudiannya menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat PN pada 20 September,” jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement