Skip to main content

Malaysia

Penjawat awam dikaitkan penipuan pakej perkahwinan berdepan tindakan tatatertib

Mohd Alwi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.  - Gambar Bernama
Mohd Alwi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

IPOH: Polis mengesahkan seorang penjawat awam bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang dikaitkan dengan kes penipuan khidmat perancang perkahwinan membabitkan kerugian hampir RM1 juta, kemungkinan menghadapi tindakan tatatertib.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 31 tahun itu boleh dikenakan tindakan termasuk digantung tugas sepertimana peraturan yang ditetapkan.

“Penipuan pakej perkahwinan ini berlaku sejak tahun lepas dan sebahagian besar aduan telah dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Kami menerima 73 aduan melibatkan lelaki berkenaan dan selepas penelitian dibuat oleh pihak pendakwaan, satu pertuduhan telah difailkan di mahkamah pada 8 Sept lepas,” katanya pada sidang media di IPK Perak di sini hari ini.

Pada 7 Okt lepas, tular satu hantaran di platform media sosial Threads yang mempertanyakan keberadaan lelaki berkenaan selepas didakwa memperdaya ramai mangsa menerusi penawaran pakej perkahwinan sebelum melarikan wang deposit mereka.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Alwi berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung satu insiden tembakan yang dilaporkan berlaku di sebuah kandang lembu sekitar Batu 9, Chemor, pada 18 Okt lepas.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis mereman seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun dari 19 hingga 20 Okt lepas bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Berdasarkan semakan kami, mangsa tidak mempunyai rekod jenayah dan kami juga sedang menyiasat sama ada terdapat sebarang perselisihan faham yang mungkin membawa kepada kejadian tembakan itu,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengembala lembu berusia 56 tahun dilaporkan nekad terjun ke dalam sungai berhampiran kandang lembu miliknya bagi menyelamatkan diri daripada ditembak oleh beberapa individu tidak dikenali.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement