Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, ada perjanjian bertulis yang menyatakan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, perjanjian itu bagaimanapun bukan hanya melibatkan pemimpin Pakatan Harapan sebaliknya, dinyatakan secara umum dengan jelas sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Pertamanya, terdapat satu perjanjian iaitu perjanjian bertulis dan ia (perjanjian) bukan hanya di kalangan pemimpin (Pakatan Harapan), namun mesejnya jelas sepanjang pilihan raya lalu, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Apabila Datuk Seri Anwar dibebaskan (dari penjara) beliau akan mengambil alih jawatan," katanya semasa sesi soal jawab Persidangan Kepimpinan Apex di Bangsar pada Rabu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga tidak melihat isu peralihan kuasa berkenaan menjejaskan apa-apa dalam parti gabungan dalam PH.

"Sekarang, adakah ada perubahan dalam kedudukan-kedudukan dalam Keadilan? Tidak. Adakah DAP ada perubahan dalam kedudukan? Tidak. Amanah dan kedudukan Mat Sabu berubah? Tidak.

"Maka, jelas, tiada isu dibangkitkan. Bersatu? juga tidak. Tun Dr Mahathir telah menyatakannya secara tertutup dan terbuka," ujarnya lagi.

Tegasnya, apa yang lebih penting ialah bukan apa yang Anwar mahu, sebaliknya apa yang negara perlu dalam memastikan pembangunan ekonomi.

Menurut Anwar, ada masanya Dr Mahathir sendiri didakwa seperti tidak jelas apabila ditanya tempoh masa beliau akan menerajui negara hanya kerana memberi jawapan yang berbeza.

"Ya kadang-kala sudah tentu Tun Dr Mahathir ada manyatakan setahun, dua tahun dan tiga tahun. Mahathir dikatakan seperti mengelak. Saya katakan tidak (menafikan Dr Mahathir mengelak)," ujar Anwar.

Bahkan, Dr Mahathir juga pernah menyebut bahawa Anwar adalah penggantinya.

Namun, kata Anwar, perkara itu masih menjadi bahan perbualan sehinggakan ada pihak yang mendesak dan bertanya bila Dr Mahathir akan melepaskan jawatan.

Selepas menang PRU14, Dr. Mahathir berulang kali menyatakan akan mengotakan janji untuk meletakkan jawatan selepas tempoh dua tahun.

Anwar pada minggu lalu berkata, pemimpin PH telah bersetuju mengenai tarikh peralihan kuasa berkenaan, namun tidak akan didedahkan secara umum.