Kes penderaan kanak-kanak dan pengabaian di negara ini telah mendapat perhatian dari kerajaan dan rakyat Malaysia, khususnya.

Pada Rabu, bapa seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikurung di dalam sebuah apartment berhampiran Sungai Dua di Butterworth, Pulau Pinang dalam keadaan kurang zat serta didera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di negeri tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dengan kes-kes sedemikian yang berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan kini sedang merangka akta baru yang memberi penekanan lebih kepada pengabaian untuk menggantikan Akta Kanak-kanak 2001.

Kanak-kanak tersebut kini dilaporkan pulih dan stabil selepas meneerima rawatan di hospital.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, memandangkan pindaan yang dibuat adalah lebih 70 peratus, ia lebih baik dikenali sebagai Akta Kanak-Kanak yang baharu.

Katanya, akta terbabit yang dijangka mengenakan hukuman lebih berat kepada ibu bapa yang bersalah mengabaikan anak mereka dan diharap dapat memberi pengajaran kepada ibu bapa sebelum melakukan sesuatu perkara yang memudaratkan anak.

Secara semulajadi, ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk membesarkan dan memastikan anak-anak mereka dalam keadaan selamat, namun adakah mereka sedar tentang dasar-dasar kerajaan yang wujud berhubung penjagaan kanak-kanak serta hak anak-anak mereka?

Bagi Che Hasnadi Che Hassan, beliau berkata walaupun beliau tidak begitu arif dengan fasal yang terkandung di bawah Akta Kanak-kanak, dia memahami bahawa tujuan undang-undang ini adalah untuk melindungi kesejahteraan kanak-kanak.

Katanya, ibu bapa yang didapati bersalah menyalahgunakan atau mengabaikan anak-anak mereka harus menerima hukuman berat dan kerajaan juga perlu menguatkuasakannya dengan tegas bagi mewujudkan kesedaran yang lebih baik.

"Pengabaian atau penderaan kanak-kanak, terutamanya yang membawa kepada kematian, perlu dihukum setara dengan kes pembunuhan kelas kedua, dan hukuman tersebut harus mencerminkan yang sewajarnya," kata Che Hasnadi, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Amona Group.

Bagi Lawrence Jeyaraj, 45 tahun dan bapa kepada lima anak, beliau berkata meskipun dia percaya bahawa kesedaran adalah kunci dalam mencegah penderaan kanak-kanak, hukuman yang lebih berat pada pendera tidak semestinya menyelesaikan masalah sosial ini, terutamanya di Malaysia.

"Kadang-kadang, tekanan bagi kumpulan berpendapatan sederhana dan berpendapatan rendah dalam menghadapi kehidupan seharian, boleh dilepaskan dalam bentuk yang keras. (Oleh itu) Kesedaran adalah amat penting," kata Jeyaraj, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 'Eradication Drugs' di Lawas.

Sambil mengakui bahawa dirinya juga tidak begitu arif tentang Akta Kanak-kanak, Lawrence berkata gerakan komuniti, persatuan agama, media serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan aktif dalam mencetuskan kesedaran di kalangan masyrakat.

Bagi Jacinta Johnson-Chan, beliau berkata dalam kes-kes di mana ibu bapa mungkin tidak stabil dari segi kewangan, mempunyai masalah mental atau kurang berpendidikan, hukuman bagi kumpulan ini jika mereka didapati cuai, harus diberi pendekatan berbeza.

"Saya sepenuh hati bersetuju bahawa hukuman berat perlu diberikan kepada mereka yang dengan sengaja mendera anak-anak mereka, tetapi bagi mereka yang telah cuba sedaya upaya dengan sumber yang amat terhad, mungkin kita boleh tawarkan mereka khidmat kaunseling dan bantuan kewangan sehingga mereka boleh berdiri kembali, "katanya.

Jacinta, yang bekerja dari rumah membuat reka bentuk kreatif dan perkhidmatan pengurusan media digital untuk menghabiskan lebih banyak masa dengan anak-anak, berkata dia juga tidak sedar tentang selok belok Akta Kanak-Kanak 2001.

Walau bagaimanapun, rata-rata ibu bapa yang ditemui Astro AWANI bersetuju bahawa apa sahaja dasar baru atau perundangan yang kerajaan akan laksanakan, tidak akan beri apa-apa makna tanpa penguatkuasaan.

Sebagai contoh, dalam kes kanak-kanak berusia dua tahun Siti Soffea Emelda Abdullah, yang diculik dan dipancung di Sungai Klang pada siang hari, Mei tahun lepas.

Ibunya, Siti Salmy Suib yang kehilangan tempat tinggal dan menganggur, telah dilaporkan di bawah siasatan kerana 'meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan' di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Namun tiada perkembangan terkini dari Siti Salmy, 33, dan juga kes ini sejak Jun tahun lalu apabila mayat seorang lelaki yang disyaki membunuh kanak-kanak itu ditemui terapung di Sungai Klang beberapa hari selepas pembunuhan tersebut.

Ramai yang bimbang sekiranya kes-kes sebegini muncul semula, namun kita masih belum dengar langkah yang benar-benar proaktif bagi membendung isu ini.

Sementara itu, Jacinta, Lawrence dan Che Hasnadi juga bersetuju bahawa media sosial memainkan peranan penting dan berkesan dalam menyebarkan maklumat dan merupakan medium yang terbaik untuk mendapatkan perhatian, terutama daripada pihak berkuasa.

Media sosial boleh menjadi pisau bermata dua, tetapi ibu bapa perlu tahu dan sedar bagaimana untuk menggunakannya dengan bijak, kata Jacinta.

"Media sosial adalah tempat yang baik untuk mengetengahkan isu-isu dan mendapat respon orang-orang awam. Tetapi bagi kes-kes yang melibatkan kanak-kanak, saya rasa kita tidak boleh mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi dan gambar-gambar ibu bapa serta anak-anak mereka.

"Maklumat dan gambar-gambar ini akan berada di atas talian untuk masa yang lama, jadi mungkin kita perlu menggunakan budi bicara kita sendiri tentang maklumat tersebut," katanya.

Baru-baru ini, Rohani berkata Akta baru itu akan memberi tumpuan lebih kepada pengabaian ibu bapa, tidak seperti Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata kementerian itu telah mengemukakan draf pindaan kepada Akta Kanak-kanak kepada Peguam Negara pada tahun 2014 tetapi ia telah dikembalikan kepada kementerian untuk melakukan beberapa perubahan kecil.