KUALA LUMPUR: Perbelanjaan periklanan (adex) untuk industri media dijangka bertambah baik pada Q2FY22 apabila perniagaan kembali beroperasi pada tahap optimum.

Kenanga Research berkata, ia juga disokong oleh permintaan yang kukuh daripada pasaran domestik yang akan menggalakkan aktiviti periklanan.

"Apabila negara beralih ke fasa endemik pada Q2FY22, kami menjangkakan adex akan terus meningkat hasil dorongan daripada pembukaan semula sektor ekonomi negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, pemain industri seperti Media Prima Berhad dan Astro Malaysia Holdings Berhad merupakan penerima manfaat terbesar.

"Segmen Media Prima Omnia menyediakan platform pengiklanan yang mudah merentasi semua platform media manakala Astro baru sahaja melancarkan penyelesaian periklanan yang membolehkan pengiklan menyasarkan pelanggan mereka," katanya.

Berdasarkan data yang dikumpulkan Nielsen, firma penyelidikan itu berkata, adex Q1FY22 meningkat 14% daripada RM1.3 bilion pada Q1FY21 kepada RM1.5 bilion hasil daripada pembukaan semula aktiviti perniagaan pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Pada masa sama, adex digital dari tahun ke tahun juga meningkat sebanyak 11%.

Bagaimanapun, suratkhabar terus mencatatkan penurunan sebanyak 6% dan menurun sebanyak 3% dari tahun ke tahun daripada jumlah keseluruhan adex.

"Pegangan pasaran adex untuk suratkhabar menurun kerana peningkatan pegangan pasaran untuk periklanan digital," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk industri media. - DagangNews.com