Adibah bawa agenda kerjasama pembacaan ke Pesta Buku Antarabangsa Taipei 2026

Adibah pada Forum Penerbitan Antarabangsa sempena TIBE di Taipei pada Khamis lepas. - Foto Facebook/Kota Buku
KUALA LUMPUR: Kerjasama ASEAN dalam bidang pembacaan dan penerbitan perlu diperkukuh sebagai langkah meningkatkan kefahaman bersama, memantapkan diplomasi budaya serta membina ekosistem pembacaan global yang lebih berdaya tahan.
Ringkasan AI
- Kerjasama ASEAN dalam bidang pembacaan dan penerbitan perlu diperkukuh untuk memantapkan diplomasi budaya serta membina ekosistem pembacaan global yang lebih berdaya tahan.
- Usaha tersebut boleh dilaksanakan melalui tiga mekanisme utama iaitu Polisi dan Kepercayaan, Pasaran dan Peredaran, serta Rakyat dan Imaginasi melalui festival literasi.
- Adibah Omar menegaskan komitmen PKB dalam memperkukuh kerjasama pembacaan antarabangsa untuk memastikan Malaysia menjadi penyumbang aktif dalam membentuk budaya membaca global.
"Apabila kita berkongsi cerita, memperluas peredaran karya dan membuka ruang dialog berasaskan ilmu, kita sedang membina kuasa lunak yang lestari, iaitu saling mempercayai, saling memahami dan mengandungi nilai kemanusiaan," katanya ketika berucap pada Forum Penerbitan Antarabangsa sempena Pesta Buku Antarabangsa Taipei 2026 (TIBE) di Taipei pada Khamis lepas.
Dalam ucapannya bertajuk Through the Looking Glass: How Reading Cooperation Builds Soft Power in a Fragmented World, Adibah turut menyentuh bahawa bahasa dan terjemahan kekal sebagai halangan utama tetapi pada masa sama membuka peluang baharu di peringkat global.
Beliau berkata penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab, bukan untuk menggantikan peranan penterjemah atau mengabaikan pemahaman budaya tetapi memperluas akses serta mengeratkan hubungan antara masyarakat dunia.
Selain itu, Adibah turut memaparkan data penebusan dan pembelian buku melalui program Baucar Buku MADANI 2024 dan Baucar Buku Guru MADANI 2025 yang memanfaatkan sepenuhnya teknologi serta transaksi secara dalam talian.
Beliau juga menegaskan PKB komited untuk terus memperkukuh kerjasama pembacaan antarabangsa bagi memastikan Malaysia menjadi penyumbang aktif dalam membentuk budaya membaca global, pertukaran hak cipta dan kefahaman antara peradaban.
Sementara itu, PKB memaklumkan pandangan Adibah selari dengan misi TIBE sebagai hab global yang memacu pertukaran penerbitan, terjemahan, perdagangan hak cipta serta dialog antara budaya.
Sehubungan dengan itu, pembangunan sistem pembacaan yang saling beroperasi dan disokong oleh pendigitalan proses serta kecerdasan sistem, ia dilihat sebagai pemangkin penting ke arah akses yang lebih saksama, peluasan skala penyertaan masyarakat, pengukuhan ketelusan kepercayaan dan pembinaan kerjasama yang berterusan serta dapat diperkukuh melalui rentas sempadan negara.
Edisi ke-34 TIBE yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Taipei antara pameran buku paling berpengaruh di Asia yang menghimpunkan lebih 500 reruai daripada 29 negara serta lebih 60 penulis antarabangsa.
Tema TIBE tahun ini ialah Reading is Amazing atau CreaTHAIvity yang bertujuan menonjolkan kepentingan pertukaran budaya serta kuasa transformasi yang lahir daripada amalan membaca.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


