NATIONAL
ADUN Negeri Sembilan sepakat laksana pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu

Aminuddin berkata, lambakan anjing liar telah mengganggu urusan harian penduduk. - Gambar fail
SEREMBAN: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan sebulat suara bersetuju bahawa kaedah pelupusan anjing liar di kawasan majoriti penempatan Melayu perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu kacau ganggu dan keselamatan.
Ringkasan AI
- Semua ADUN di Negeri Sembilan bersetuju untuk melaksanakan kaedah pelupusan anjing liar di kawasan majoriti penempatan Melayu bagi mengatasi isu kacau ganggu dan keselamatan.
- Pelupusan akan ditumpukan di kawasan majoriti Muslim terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
- ADUN dari pelbagai kawasan menyokong tindakan ini dan berharap ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh untuk mengatasi masalah anjing liar.
“Pelaksanaan pemandulan anjing liar masih diteruskan, tetapi kita lihat anjing liar di kawasan Melayu semakin tidak terkawal. Setiap kali sidang DUN, isu yang sama dibangkitkan seolah-olah kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan. Jadi, saya perlukan sokongan majoriti ADUN untuk menyelesaikan isu ini,” katanya pada Sidang DUN pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan ADUN Sri Tanjung, Dr G Rajasekaran mengenai isu haiwan liar seperti monyet dan anjing liar yang sering dibangkitkan tetapi tiada tindakan berkesan diambil.
ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker yang mewakili blok pembangkang menyokong supaya penyelesaian terhadap isu anjing liar dicari dan bersetuju agar tindakan lebih tegas diambil.
Manakala ADUN Chuah, Yew Boon Lye mencelah dengan memberitahu bahawa kes anjing liar bukan sahaja berlaku di kawasan Melayu, malah turut berlaku di kawasan bukan Melayu. Justeru, beliau berharap tindakan itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Sementara itu, ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata isu anjing liar bukan hanya dihadapi oleh kaum Melayu sahaja, malah pihaknya turut menerima banyak aduan daripada kalangan bukan Melayu yang berdepan masalah dikejar anjing liar ketika berjoging.
ADUN Lobak, Chew She Yong pula mencadangkan supaya diberikan tempoh sebulan sebelum pelupusan dilakukan bagi memberi ruang kepada pencinta haiwan yang berminat untuk mengadopsi haiwan berkenaan, memandangkan setiap rumah dibenarkan memelihara dua ekor anjing.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, kaedah pelupusan itu akan ditumpukan di kawasan majoriti Melayu terlebih dahulu supaya isu sensitif itu dapat dikurangkan sebelum diperluaskan ke kawasan lain termasuk tempat riadah dan lokasi awam.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah boleh ambil tanggungjawab dan saya maklum akan ada NGO yang akan membuat bantahan. Saya harap mereka faham bahawa terdapat kemalangan berlaku disebabkan anjing liar yang melibatkan nyawa dan keselamatan orang awam.
“Jadi, saya harap mereka faham bahawa kerajaan negeri bukan mahu melupuskan semua, tetapi hanya sebahagian anjing liar di kawasan yang memberikan ancaman kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua DUN, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman memutuskan bahawa kaedah pelupusan sebahagian anjing liar di kawasan penempatan Melayu telah mendapat persetujuan sebulat suara daripada Ahli Dewan dan cara serta perincian kaedah akan diserahkan kepada Exco untuk tindakan selanjutnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami