KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 ditangguhkan hari ini selepas bersidang selama 20 hari sejak 19 Jan lepas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dalam ucapan penangguhannya berkata mesyuarat pertama tahun ini menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan lima rang undang-undang (RUU) serta beberapa usul termasuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 1/2026.
Advertisement
RUU yang diluluskan ialah RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025, RUU Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura 2026, RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026, RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 dan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026.
Selain itu, Johari berkata tiga sesi penerangan daripada menteri-menteri dan dua sesi penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai penyata yang dibentangkan telah diadakan di Dewan Rakyat pada sesi ini.
“Pada mesyuarat ini juga kita menyaksikan Persidangan Kamar Khas telah diadakan di Dewan Persidangan dan memberikan keselesaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan pegawai, pelawat serta pihak media untuk mengikuti persidangan,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
-- BERNAMA