JOHOR BAHRU: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meminta agensi di bawah kementeriannya dan syarikat konsesi yang dilantik supaya lebih proaktif dalam menjalankan kerja penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara.

Beliau berkata isu penyelenggaraan jalan raya tidak boleh dipandang enteng berikutan jalan raya digunakan pengguna hampir setiap masa selain melibatkan keselamatan dan nyawa rakyat.

Menurut Nanta, sebagai seorang pengguna jalan raya, beliau memahami situasi tersebut malah ada kalanya beliau sendiri tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya yang dilihat berlubang dan kurang rapi penjagaannya.

"Saya berharap semua pihak yang terlibat memastikan keadaan jalan raya berada dalam keadaan baik termasuk kakitangan kementerian, Jabatan Kerja Raya (JKR), agensi mahupun syarikat konsesi yang dilantik untuk menyelenggara, dengan mengambil tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan berintegriti.

"Sehubungan itu, saya akan mendapatkan laporan status keadaan jalan raya bermasalah dengan lebih kerap daripada JKR pusat dan negeri di seluruh negara bagi memastikan segala perancangan yang dilaksanakan berjalan lancar, " katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kapit itu turut meninjau keadaan jalan raya di Jalan Tebrau di hadapan Hotel Crystal Crown, Jalan Persimpangan Kampung Dato' Sulaiman Menteri dan persimpangan Kampung Melayu Majidee di sini, yang kerap diterima aduan.

"Memang agak mendukacitakan keadaan jalan di sini. Benarlah seperti yang diadukan oleh pengguna jalan raya. Saya telah memanggil Jurutera daerah Johor Bahru bagi mendapatkan penjelasan berkaitan keadaan jalan dan inisiatif JKR Johor Bahru, dalam menyelesaikan masalah ini.

"Saya mahu ada tindakan berkesan diambil dalam masa terdekat, bukan lagi membiarkan pengguna terus menerus terpaksa bersabar dengan keadaan sedemikian," tambahnya yang sering menerima aduan berhubung isu berkenaan secara rasmi atau menerusi media sosial.


Sementara itu, Nanta yang turut membuat tinjauan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa isu berhubung aduan kerja-kerja penyelenggaraan di situ.

Antara tindakan yang diambil termasuk kerja-kerja penyelenggaraan tidak lagi dijalankan pada waktu puncak dan perkakas kerja mesti disimpan di tempat yang tidak menghalang laluan, selain lampu di laluan motosikal mesti dinyalakan sepanjang malam dan pada waktu gelap.

"Keadaan fasiliti di CIQ mesti sentiasa dipastikan dalam keadaan baik bagi keselesaan pengguna. Pihak JKR Johor Bahru memberikan jaminan akan sentiasa memastikan perkara ini diberi perhatian serius dan saya akan terus memantau bagi memastikan isu-isu ini tidak lagi menyumbang kepada masalah kesesakan yang teruk di CIQ ini," kata beliau.

Selain itu, Nanta berkata Kementerian Kerja Raya juga akan melihat semula cadangan menaik taraf laluan motosikal, memandangkan ada laluan yang sempit dan kurang sesuai untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi.

-- BERNAMA