Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kali ke-245 di Istana Negara.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah diwakili Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah serta isteri Raja Puan Muda Tengku Maliha Tengku Ariff.

Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra juga berangkat ke santapan malam itu.

Majlis juga menyaksikan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri serta isteri masing-masing turut menyertai santapan malam itu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang berlangsung selama dua hari itu dipengerusikan Sultan Nazrin Shah. Ia berakhir esok. -- Bernama