KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Sovereign's Parade Pentauliahan paduka anakanda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah di United Kingdom (UK), pada Jumaat.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka anakanda-anakanda Seri Paduka berdua turut berangkat pada istiadat yang diadakan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), London.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakri Jaafar dan isteri Datin Nor Aini Abdul Rahman serta Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin dan Penasihat Pertahanan Malaysia di UK, Brigadier General Datuk Safwan Ismail.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke istiadat itu disambut Ketua Staf Pertahanan UK Jeneral Sir Patrick Sanders.

Pada istiadat tersebut, Seri Paduka turut diberi penghormatan menerima Tabik Hormat Diraja diiringi lagu Negaraku.

Seri Paduka Baginda juga berkenan beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan bersama Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, Jeneral Sir Patrick Sanders dan Panglima Tentera Darat India, Jeneral Manoj Pande.

Tengku Ahmad telah melengkapkan latihan ketenteraan di RMAS selama setahun bermula 11 Ogos 2022.

Al-Sultan Abdullah turut menjalani latihan ketenteraan di RMAS dari 1978 hingga 1979 dan ditauliahkan oleh mendiang Ratu Elizabeth II pada 1980.

Sementara, Tengku Hassanal menjalani latihan ketenteraan di akademi itu dan ditauliahkan pada Disember 2019 selepas melengkapkan latihan selama 44 minggu.

RMAS adalah sebuah institusi latihan ketenteraan tersohor dunia yang terkenal dalam pembangunan kepimpinan dan latihan asas ketenteraan serta pegawai tentera darat. - BERNAMA