KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita serta menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah dikenang sebagai tokoh wanita negara yang banyak berjasa dalam bidang perubatan, kebajikan dan kemasyarakatan, selain menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia menerusi sumbangan serta khidmat baktinya kepada negara.
Pemergian Allahyarham turut mengundang rasa sedih dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan yang mengenali dan menghargai jasa serta pengorbanannya sepanjang hayat.