KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, dijadualkan pada jam 4 petang ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, sesi mesyuarat Pra-Kabinet itu cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ini kerana, ia merupakan sesi menghadap terakhir sebelum Seri Paduka Baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari depan.

"Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali, termasuk sesi hari ini, dengan empat Perdana Menteri Malaysia," kata Istana Negara.

Turut hadir pada sesi hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Al-Sultan Abdullah menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini, selepas bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.