Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Ahli IKRAM didakwa atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM17.9 juta

KUALA LUMPUR, 25 Jun -- Seorang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang sebelum ini didakwa atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM17.9 juta, antara 2021 hingga 2025.  Fakhrudin Abd Karim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fakhrudin Abd Karim, 57, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang sebelum ini didakwa atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM17.9 juta, antara 2021 hingga 2025.

Fakhrudin Abd Karim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan  dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

“Faham pertuduhan, mohon bicara,” kata Fakhrudin selepas pertuduhan dibacakan satu per satu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, dia didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM10.54 juta dengan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun MAG Builders Sdn Bhd bagi pembayaran 'Proposed Design For New Bungalow' di Bandar Kundang, Gombak, rumah kediaman miliknya.

Fakhrudin turut didakwa atas tiga pertuduhan sama, iaitu memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.66 juta daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun kad kredit miliknya untuk pembayaran kad kredit berkenaan.

Bagi 10 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM4.7 juta hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada dua akaun syarikat, iaitu Wiranusa Corporation Sdn Bhd dan Promosi Mantap Sdn Bhd.

Ia untuk pembayaran kenderaan mewah jenis Mercedes-Benz/ AMG S63, Range Rover SVA, Porsche/ 911 Carrera S S-A, Porsche/ 911 Turbo S S-A dan Toyota Alphard selain pembayaran kenderaan jenis Lexus RX300 yang dibuat melalui sekeping cek dari akaun bank Fakhrudin ke akaun Aspirasi Utara Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Bangsar dan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail antara 6 Jan 2021 hingga 21 April 2025.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.  

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh sebelum ini telah didakwa atas 158 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama, dan tarikh sebutan telah ditetapkan pada 7 Ogos. 

"Pendakwaan juga memohon untuk mahkamah mengguna pakai jaminan RM500,000 dengan dua penjamin dan syarat-syarat jaminan yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi,” katanya.

Sivananthan yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Azrul kemudian membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam serta mengguna pakai syarat-syarat jaminan sebelum ini dan menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan kes di Mahkamah Shah Alam.

Pada 16 Jun lepas, Fakhrudin mengaku tidak bersalah atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM98 juta antara 2021 hingga 2025.

-- BERNAMA
 

Must Watch Video

Advertisement