AMPANG JAYA: Seorang lelaki disyaki ahli kongsi gelap diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah rumah di Taman Dagang Permai di sini pada Rabu.

Suspek yang juga merupakan pemandu lori itu turut didapati terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar kawasan Ampang sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan sebelum itu dibuat mangsa yang mendapati tingkap pada bahagian dapur telah terkopak.

"Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berumur 27 tahun itu turut mendapati empat beg tangan berjenama yang diletakkan di bahagian dapur turut hilang.

"Siasatan kemudian membawa kepada tangkapan seorang lelaki berumur 41 tahun di sebuah unit rumah pangsa di Puchong kira-kira jam 12 tengah malam pada Khamis," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pemeriksaan tubuh badan suspek mendapati terdapat beberapa tatu.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap selain mempunyai 13 rekod jenayah dan 12 rekod berkaitan dadah.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis methapatamine," katanya.

Menurutnya, suspek menyasarkan kawasan perumahan yang tidak mempunyai kawalan keselamatan ketika melakukan kegiatan jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966," katanya. - Sinar Harian