KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen hari ini mencadangkan pemimpin politik melaksanakan gencatan politik hingga pilihan raya umum akan datang demi kestabilan ekonomi negara dan perpaduan masyarakat.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) berkata perhimpunan politik besar-besaran atau demonstrasi akan menjejaskan kemasukan pelaburan di negara ini seterusnya menyebabkan kegagalan bagi mencapai status negara maju.

"Pelabur amat sensitif dengan situasi politik domestik, sejumlah RM1.23 trilion pelaburan akan lari jika kita terus berbalah, jadi saya mohon supaya Bachok dan kawan-kawan di sebelah sana (pembangkang) tak payahlah buat apa-apa demonstrasi, ini akan menakutkan pelabur.

"Kita tahu bahawa kita ada kebebasan, boleh bersuara di sini (Parlimen), boleh membangkang di sini tak ada masalah tetapi pelabur amat sensitif terhadap himpunan besar-besaran dan pada 16 Sept, iaitu Hari Malaysia di mana kita harus bersama, bersatu-padu sebagai satu negara Malaysia (dan) bukan masa untuk mengadakan demonstrasi yang mengancam perpaduan rakyat Malaysia," katanya.

Menjawab celahan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang mempersoalkan cadangan Sim agar PN tidak mengadakan demonstrasi, Sim berkata negara telah menyaksikan begitu banyak perhimpunan besar-besaran dan ceramah politik setiap kali pilihan raya kecil.

"Sekarang kita sudah ada banyak pilihan raya (kecil), ada perhimpunan boleh ceramah, tiada masalah. Sudah cukuplah ceramah, perhimpunan besar-besaran pun sudah buat, cukuplah. Sekarang masa untuk fokus kepada ekonomi, fokus kepada perpaduan negara," katanya.

Sim berkata suhu politik negara masih belum reda walaupun selepas 10 bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan malah ada sesetengah pihak yang menggunakan isu 3R iaitu institusi diraja, kaum dan agama untuk kepentingan politik.

Katanya polarisasi politik itu dilihat mampu memecahbelahkan masyarakat ke tahap yang amat membimbangkan dan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat sekiranya perkara itu tidak ditangani.

Justeru, beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Kaum dan Kestabilan Negara di Parlimen, melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertujuan mewujudkan forum untuk berbincang serta mencari penyelesaian kepada isu-isu sensitif.

"Malaysia perlu mencari forum yang sesuai untuk mencapai persetujuan politik terutamanya berkenaan isu sensitif, kaum, agama dan wilayah. Forum ini diperlukan kerana ahli politik boleh membincangkan isu melalui mesyuarat tertutup.

"... jawatankuasa ini bertujuan mencapai titik pertemuan segala masalah kaum dan agama secara rasional dan penuh rahmah...biarlah segala isu sensitif dibincangkan tanpa sekatan tapi matlamatnya adalah ke arah perpaduan negara dan bukan perpecahan," katanya.

-- BERNAMA