KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang ahli perniagaan daripada pertuduhan menyalahgunakan wang RM10,000 milik sebuah syarikat minyak dan gas bagi membuat pembayaran bil kad kreditnya, lima tahun lepas.

Hakim Datin Sabariah Othman membebaskan Mohamed Noor Mohamed Amin, 50, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

"Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan dokumen yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membawa satu keterangan kukuh untuk membuktikan wang RM10,000 ini adalah milik syarikat FMG Synergy Sdn Bhd. Oleh itu, tiada bukti menunjukkan wang milik syarikat itu telah disalahgunakan oleh tertuduh.

"Mahkamah dengan ini memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan," kata hakim.

Lelaki itu didakwa menyalahgunakan wang RM10,000 milik syarikat FMG Synergy Sdn Bhd untuk membayar bil kad kredit persendiriannya di sebuah bank di Jalan Ipoh, di sini pada 19 Sept 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shakira Aliana Alias manakala peguam Nurul Huda Razali mewakili Mohamed Noor.

Tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 23 Nov 2022.

-- BERNAMA