Ringkasan AI
- Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memperdaya lelaki RM1.65 juta bagi pembelian dusun durian di Raub.
- Tertuduh didakwa menipu mangsa untuk menyerahkan invois syarikat melalui pindahan akaun pada 5 Februari 2024 di Petaling, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes.
SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki sebanyak RM1.65 juta bagi pembelian sebuah dusun durian di Raub, Pahang sekitar Februari 2024.
Chan Huann Heng, 58, yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pengimport dan pengeksport sayur-sayuran membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu didakwa menipu mangsa berusia 66 tahun bagi menyerahkan invois sebuah syarikat bernilai RM1.65 juta melalui pindahan akaun bagi tujuan pembelian sebuah dusun durian di Raub.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah kelab di Jalan Kelab Tropicana dalam daerah Petaling pada 5 Feb 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Dhanesh Subramaniam Nair memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan perniagaan anak guamnya terjejas akibat kes berkenaan, selain tertuduh memberi kerjasama yang baik sejak kes itu disiasat.
Hakim Dazuki Ali membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 30 Nov ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA