Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan komplikasi usus di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 7 Jun lalu, dilihat bersemangat untuk segera kembali bertugas.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna & Koperasi dan IMTGT Negeri Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail berkata Ahmad Bashah sendiri mahu mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang akan diadakan di HPP esok.

"Ahmad Bashah kata beliau dah sihat dan sudah boleh mempengerusikan mesyuarat Exco seperti biasa. Keadaan kesihatan beliau kini berbeza, beliau begitu ceria dan semakin bertenaga.

"Kita berdoalah agar keadaan kesihatannya terus bertambah baik," katanya kepada pemberita selepas mewakili Ahmad Bashah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Masyarakat serta Penyampaian Sumbangan bagi Daerah Pendang/Pokok Sena di Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin di sini, malam tadi.

Ahmad Bashah sebelum ini dirawat di Kedah Medical Centre (KMC) pada 4 Jun lalu selepas beliau pitam ketika menghadiri mesyuarat dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Kedah di Hotel Grand Alora, Alor Setar sebelum dipindahkan ke HPP pada 6 Jun.

Ku Rahman berkata ketika beliau melawatnya di HPP beberapa kali sebelum ini, Ahmad Bashah banyak bertanyakan mengenai keadaan negeri walaupun dinasihat agar terus berehat bagi memastikan proses pemulihannya tidak terganggu.

Beliau berkata mesyuarat Exco di HPP itu esok akan membincangkan perkara-perkara biasa dan tidak ada agenda tertentu yang perlu dibincangkan segera.

"Setiap Rabu adalah hari untuk mesyuarat Exco dan saya pasti beliau sudah mendapat nasihat doktor untuk membolehkan mesyuarat diadakan di HPP esok," katanya.

Pada majlis itu, seramai 1,500 penerima dari daerah Pendang/Pokok Sena menerima sumbangan berkenaan membabitkan peruntukan lebih RM300,000.