Skip to main content

Malaysia

Banjir: Mangsa di Sabah meningkat, Selangor menurun

Di Selangor, hanya dua PPS masih beroperasi di Kuala Langat, iaitu di SK RTB Bukit Changgang yang menempatkan 535 mangsa dan Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang dengan 14 mangsa. - Gambar fail/BERNAMA
Di Selangor, hanya dua PPS masih beroperasi di Kuala Langat, iaitu di SK RTB Bukit Changgang yang menempatkan 535 mangsa dan Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang dengan 14 mangsa. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, manakala di Selangor berkurangan dan Perak kekal, dengan keseluruhan 1,619 orang masih berlindung di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri itu, pagi ini.

Di SABAH, jumlah mangsa meningkat kepada 883 orang daripada 295 keluarga setakat 8 pagi berbanding 842 orang daripada 291 keluarga pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan banjir akibat hujan lebat berterusan itu melibatkan sembilan kampung di Beaufort, Sook dan Nabawan.

Advertisement

Sook mencatatkan pertambahan terbesar kepada 308 mangsa berbanding 281 orang malam tadi, manakala Beaufort meningkat kepada 308 orang daripada 300, dan Nabawan kepada 267 orang daripada 261.

Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS, dan tiada kematian atau mangsa terjejas di luar PPS dilaporkan.

Advertisement

Di SELANGOR, jumlah mangsa terus berkurangan kepada 549 orang daripada 171 keluarga pagi ini berbanding 702 orang daripada 217 keluarga petang semalam.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya dua PPS masih beroperasi di Kuala Langat, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang yang menempatkan 535 mangsa dan Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang dengan 14 mangsa.

Di PERAK, jumlah mangsa kekal 187 orang daripada 54 keluarga di tiga PPS di tiga daerah berikutan air di kawasan kediaman mereka belum surut akibat fenomena banjir termenung.

Menurut Sekretariat JPBN, PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di Manjung menempatkan 129 orang daripada 38 keluarga, diikuti PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak dengan 51 orang daripada 13 keluarga dan PPS SK Batu Hampar di Larut, Matang dan Selama dengan tujuh orang daripada tiga keluarga.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan Jalan Padang Serai-Beruas masih ditutup kepada kenderaan ringan akibat dinaiki air, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir pada sebelah petang di semua daerah di Perak.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement