JOHOR BAHRU: Anak kepada bekas Exco Kerajaan Johor, Ahmad Fauzan Hatim, 31, bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi sini pada Rabu yang kekal melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau yang merupakan seorang kontraktor lega selepas dapat mengharungi tempoh tujuh tahun sebelum ini dengan tabah apabila diheret semula ke mahkamah bersama seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 50.

"Alhamdulillah. Semua selesai hari ini dan saya ingin berterima kasih kepada pihak peguam yang sentiasa bersama kami sekeluarga selain SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan pendakwa raya yang sangat profesional menjalankan tugas," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Terdahulu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebas dan melepaskan kedua-dua lelaki itu atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta pada 2017.

Hakim Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 7 Ogos 2022, yang membebas dan melepaskan Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin.

Ahmad Fauzan melakukan sujud syukur dalam mahkamah selepas hakim memutuskan demikian

Beliau juga dilihat berpelukan dengan bapanya, Datuk Abd Latif Bandi di pekarangan mahkamah.

Abd Latif sebelum ini dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan rasuah bersama anaknya itu dan Amir Shariffuddin pada 2017.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauzan berkata, keputusan itu membolehkannya menjalani kehidupan lebih baik termasuk memberi tumpuan kepada kerjayanya sebagai ahli perniagaan.

"Saya melalui tujuh tahun ini dengan baik, selepas ini saya mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada perniagaan keluarga," katanya.

Sementara itu, Amir Shariffuddin berkata, dia berharap kes berkenaan berakhir dan tidak diteruskan lagi.

Menurutnya, selama tempoh tersebut, dia berdepan pelbagai cabaran dan kini mahu memulakan kehidupan baharu.

"Saya harap kes ini tamat di sini, namun sekiranya pihak pendakwaan ingin membuat rayuan lagi, macam biasa, kami akan menghadapinya," katanya.

Dalam pada itu, Peguam yang mewakili Ahmad Fauzan dan Amir iaitu Datuk Salehudin Saidin berkata, pihaknya bersedia jika pihak pendakwaan mahu meneruskan rayuan kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Katanya, hakim dalam penghujahannya memaklumkan pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan yang melampau munasabah.

"Jika ikut proses biasa, memang ada rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi kita mengharapkan pihak pendakwaan tidak merayu disebabkan sudah dua kali mahkamah mengatakan bahawa mereka ini didapati tidak bersalah atas segala pertuduhan yang dihadapkan.

"Itu hak pihak pendakwaan tapi kami mengharapkan sangat untuk kes ini selesai begini sahaja dan dibenarkan semua yang dituduh dan akhirnya bebas ini dapat memulakan karier mereka semula, sebabnya sudah terlalu lama mereka diheret ke mahkamah selama tujuh tahun," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian