Skip to main content

Sukan

Glasgow 2026: Kuartet renang lelaki negara raih tempat ketujuh 4x100m gaya bebas

GLASGOW, 24 Julai – Perenang negara Tan Khai Xin pada sesi saringan 200 meter rampaian individu lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow di Tollcross International Swimming Center hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tan Khai Xin pada sesi saringan 200 meter rampaian individu lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow di Tollcross International Swimming Center, Glasgow, 24 Julai 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

GLASGOW: Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam acara akhir renang 4x100 meter (m) gaya bebas lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini malam tadi.

Kuartet negara yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin mencatat masa 3 minit 24.32 saat (s) pada aksi final di Tollcross International Swimming Centre.

Australia meraih pingat emas dengan rekod baharu kejohanan, 3:09.49 saat (s), manakala England meraih perak dengan catatan 3:11.69s dan Afrika Selatan melengkapkan podium selepas mencatat masa 3:13.99s.

Terdahulu, kuartet negara itu layak ke peringkat akhir selepas menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan dalam saringan dengan catatan masa 3:23.90s.

Rekod kebangsaan dalam acara itu ialah 3:20.61s yang dicatat kuartet Hoe Yean, Arvin Shaun, Yin Chuen dan Terence Ng pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Skuad renang negara akan meneruskan kempen hari ini dengan Yin Chuen dan Arvin Shaun beraksi dalam acara 50m gaya bebas lelaki, manakala Hoe Yean dan Khai Xin akan mengambil bahagian dalam acara 400m gaya bebas lelaki.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement