KUALA LUMPUR: Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa Rabu depan bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.

Perkara tersebut disahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Namun tiada sebarang maklumat mengenai tempoh perkhidmatan itu disebut dalam kenyataan itu.

"Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Ahmad Terrirudin
Mohd Salleh sebagai Peguam Negara berkuat kuasa mulai 6 September ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki turut mezahirkan ucapan terima kasih kepada Idrus atas perkhidmatannya sepanjang memegang jawatan itu.

Idrus sebelum ini adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020 menggantikan Tan Sri Tommy Thomas, yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020.

Beliau kemudian dilantik semula bagi memegang jawatan itu untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa mulai 6 Mac 2023.

Terrirudin, 54, menjadi calon pertama daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak Tan Sri Abdul Gani Patail memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.

Sebelum dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada Mac tahun lalu, Ahmad Terrirudin merupakan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.