AIA lantik Heng Zee Wang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa 30 Okt

Heng berkata beliau berbesar hati memegang jawatan CEO dan akan terus membina kekuatan daripada asas kukuh AIA.
KUALA LUMPUR: AIA Bhd melantik Heng Zee Wang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 30 Okt, 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat takaful dan insurans itu berkata Heng akan melapor kepada ketua eksekutif serantau Kumpulan AIA, Tan Hak Leh.
"Heng menggantikan Ben Ng, yang telah dilantik sebagai ketua pegawai risiko kumpulan AIA yang berpangkalan di Hong Kong. Ng akan memegang jawatan itu secara rasmi mulai 1 Jan, 2026, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia," menurut kenyataan itu.
Sebagai CEO, Heng akan mengetuai operasi perniagaan insurans hayat dan entiti lain AIA di Malaysia, dengan fokus memperkukuh kedudukan syarikat sebagai peneraju pasaran serta memacu pertumbuhan dan transformasi berterusan di negara ini, katanya.
Tan berkata kepakaran Heng dalam bidang aktuari, pemasaran, penjagaan kesihatan dan pengedaran, disertai rekod kepimpinan dan inovasinya yang terbukti, menjadikan beliau pilihan terbaik untuk memimpin AIA ke fasa pertumbuhan seterusnya.
"Saya yakin di bawah kepimpinan Heng, AIA akan terus memperkukuh kedudukannya di Malaysia dan memberi nilai tambah yang lebih besar kepada para pelanggan," katanya.
Sementara itu, Heng berkata beliau berbesar hati memegang jawatan CEO dan akan terus membina kekuatan daripada asas kukuh AIA.
"AIA Malaysia merupakan penyumbang penting kepada Kumpulan AIA. Dengan sokongan warga kerja dan rakan kongsi kami, saya berhasrat untuk terus menunaikan komitmen membantu lebih ramai rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat, panjang dan bermakna," katanya.
Heng menyertai AIA pada 2012 dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan syarikat di Malaysia.
Menurut AIA, beliau memainkan peranan utama dalam kejayaan integrasi ING Malaysia selepas pengambilalihan syarikat itu pada 2012, dan dilantik sebagai timbalan pengurus besar kewangan dan aktuari pada 2014.
Pada 2018, Heng dilantik sebagai ketua pegawai pemasaran dan mengetuai pelancaran penyelesaian inovatif seperti Total Health Solutions, selain memacu penggunaan program AIA Vitality yang memperkukuh kedudukan AIA sebagai peneraju kesejahteraan holistik.
Pada 2024, beliau dilantik sebagai ketua pegawai penjagaan kesihatan dan mengetuai pelaksanaan strategi penjagaan kesihatan bersepadu AIA di Malaysia, sekali gus mentransformasi perniagaan perubatan dan kesihatan syarikat bagi memastikan kelestarian jangka panjang.
"Kepimpinan beliau memperkukuh kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan kecekapan pengurusan penjagaan kesihatan," menurut kenyataan itu.
Heng mempunyai pengalaman lebih 30 tahun merentasi pelbagai fungsi dan pasaran termasuk Singapura, United Kingdom (UK), Hong Kong dan Korea Selatan.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Aktuari dan merupakan Felo Institut dan Fakulti Aktuari, UK.
Untuk maklumat lanjut mengenai pengumuman terkini AIA Malaysia, layari www.aia.com.my
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


