BAYAN BARU: Polis menjangkakan 3.6 juta kenderaan akan melalui Pulau Pinang untuk ke negeri utara Kedah dan Perlis menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, daripada jumlah itu, dianggarkan 1.5 juta kenderaan pula akan memasuki negeri itu bermula Jumaat ini.

Beliau berkata, lebih 1,000 anggota dan pegawai termasuk 360 dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang terlibat dalam Op Selamat ke-18  yang akan diadakan selama 10 hari bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

"Kita anggarkan kira-kira tiga juta kenderaan yang akan membanjiri Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) kemudian masuk atau lalu di Pulau Pinang untuk ke Kedah dan Perlis.

"Saya telah arahkan pihak Trafik Pulau Pinang berkongsi anggaran trafik di Pulau Pinang bermula Jumaat ini, supaya pengguna jalan raya boleh menggunakan maklumat tersebut untuk  merancang perjalanan  masing-masing.

"Maklumat tersebut kita akan kongsikan di Facebook PDRM Pulau Pinang," katanya.

Jelasnya, polis turut menjangkakan berlaku kesesakan di beberapa jalan di negeri itu antaranya di Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai–Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Empat, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/ Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam-Paya Terubong Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr Awang .

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi kempen rumah selamat dan pencegahan jenayah.

Selain itu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Mohd Shuhaily berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan OP Selamat ke 18 di Bayan Baru, pada Rabu.

Terdahulu beliau menyampaikan cenderahati kepada orang ramai dan peniaga di Bazar Ramadan di Bayan Baru sempena program Outreach Ketua Polis Pulau Pinang.