PUTRAJAYA: Dakwaan harga tiket mencecah RM3,138 bagi kelas ekonomi penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini adalah tidak tepat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menerusi kenyataan media, Loke berkata beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB) Kapten Izham Ismail hari ini dan telah dimaklumkan mengenai percanggahan fakta terbabit.

"Izham telah mengesahkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan Kuala Lumpur-Tawau pada hari tersebut telah habis dijual dan tiket yang tinggal hanya kelas perniagaan.

"Beliau juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi untuk kelas perniagaan dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukan RM3,138," katanya.

Loke berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong yang dilapor menyifatkan harga tiket bagi kelas ekonomi penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini terlalu mahal iaitu RM3,138.

Beliau meminta Wee untuk memperbetul fakta terbabit dan memahami perbezaan antara tiket penerbangan kelas perniagaan dengan kelas ekonomi.

"Namun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau atas keprihatinan terhadap isu tiket penerbangan yang tinggi dan pandangan mengenai tambahan kapasiti," katanya.

Loke turut memaklumkan akan mengadakan sidang media esok di Kementerian Pengangkutan di sini untuk memberikan fakta tambahan mengenai kapasiti penerbangan bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

-- BERNAMA