KEMAMAN: Sebanyak 15 lokasi penempatan pesisir pantai dan sungai di sekitar Dungun dan Kemaman terjejas akibat dilanda banjir kilat ekoran fenomena air pasang besar yang bermula sejak Ahad lalu.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, fenomena air pasang besar setinggi 3.3 meter hingga 3.7 meter dijangka berlaku sehingga Sabtu depan.

Menurut beliau antara kawasan yang terjejas termasuklah Kampung Tanjung Mak Tat, Kampung Pulau Tempurung dan Kampung Bakau Tinggi di Kemaman, manakala di Dungun melibatkan Kampung Seberang Pintasan, Kampung Rajawali, muara Kuala Dungun dan Kampung Sungai Buaya.

Katanya rondaan secara berkala dilakukan di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan tindakan segera akan diambil sekiranya keadaan semakin memburuk.

"Untuk warga emas dan kanak-kanak kita ada ambil maklum dan dalam perhatianlah untuk pihak jabatan dan pasukan bomba, polis dan pasukan penyelamat yang lain untuk dia maklumlah.

"Kita telah mengenal pasti beberapa keluarga yang terdiri daripada warga emas, OKU dan kanak-kanak untuk kita selamatkan terlebih dahulu sekiranya berlaku keadaan yang lagi teruk," katanya.


Air Pasang Besar | 15 penempatan pesisir pantai dilanda banjir kilat

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan memantau aktiviti anak-anak supaya tidak bermain air banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Setakat ini dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Kemaman bagi menempatkan seramai 19 mangsa melibatkan lima buat keluarga.