SHAH ALAM:Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) belum bercadang untuk memberikan pampasan atau ganti rugi kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata pihaknya tidak akan menanggung kos tersebut memandangkan ia berpunca daripada jenayah alam sekitar.

“Buat masa ini tidak ada pertimbangan untuk membuat sedemikian (memberikan pampasan).

"Antara sebabnya ialah gangguan ini terpaksa ditutup kerana penjenayah alam sekitar. Jadi, kita tidak pertimbangkan (pampasan)," katanya dalam sidang media di Pangsapuri Rimba Jaya di Seksyen 16, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikin ketika diminta mengulas mengenai desakan segelintir pihak agar Air Selangor mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada pengguna perlu berdepan kekerapan masalah gangguan air tidak berjadual.

BACA: Sultan Selangor dukacita masalah gangguan bekalan air dihadapi rakyat

BACA: Gangguan air: Inilah realiti! Penduduk bermandi peluh angkut air...

BACA: Ebit Lew agih air dua lori tangki di Batu Caves


Dalam sidang media sama, Suhaimi memaklumkan setakat pukul 6 petang sejumlah 841 daripada 1,291 kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya.

Daripada jumlah tersebut, Kuala Selangor mencatatkan peratusan pulih tertinggi iaitu sebanyak 98 peratus, sementara penduduk di Hulu Langat masih belum menerima sebarang bekalan air.

Jelas Suhaimi, Air Selangor berusaha membekalkan bekalan air dengan menerusi129 lori-lori tangki ke premis kritikal termasuk di hospital dan pusat dialisis.

Ujarnya, pihaknya menjangkakan pemulihan sepenuhnya dapat disalurkan pada pukul 8 pagi, 22 Oktober ini.