CHUKAI: Seramai 194 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di Kemaman, menduduki peperiksaan dalam keadaan selesa tanpa perlu meredah banjir selepas air telah surut pagi tadi.

Pengetua SMK Chukai Tengku Shahrir Tengku Dahlan berkata pada pukul 9 malam semalam, beliau telah ke kawasan sekolah bagi memantau keadaan sebelum peperiksaan SPM bermula hari ini dan mendapati air telah memasuki perkarangan sekolah.

Menurutnya kawasan asrama turut dinaiki air melepasi paras tumit, menyebabkan beliau menghubungi pihak bomba sebagai persediaan mendapatkan bantuan dari segi pengangkutan bagi membawa calon ke dewan peperiksaan.

"Namun, pada pukul lima pagi tadi saya turun untuk melakukan pemantauan sekali lagi dan mendapati air telah surut, jadi pelajar-pelajar saya tidak perlulah meredah banjir.

"Saya nak sangat pelajar saya mengambil peperiksaan di SMK Chukai kerana bagi saya feeling itu perlu ada, kalau pelajar ini terpaksa ke sekolah lain mereka pasti akan kecewa dan sedih, sudah tentu mereka nak habiskan apa yang mereka belajar selama lima tahun ini di SMK Chukai juga," katanya sambil meluahkan rasa lega kepada Bernama ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Bagi Tengku Shahrir setiap kali dilanda bencana tindakan penting yang perlu diambil adalah memikirkan cara menangani setiap masalah dengan baik dan sentiasa berhubung dengan setiap jabatan yang terlibat bagi mendapatkan bantuan.

Tinjauan Bernama pada kira-kira 6.25 pagi tadi mendapati air telah surut di kawasan perkarangan sekolah tersebut dan dewan sekolah serta blok kelas yang berada di kedudukan tinggi telah digunakan sebagai dewan peperiksaan.

Hari ini seramai 18,815 calon SPM 2021 di seluruh Terengganu termasuk yang terjejas banjir mula menduduki peperiksaan tersebut di 170 pusat peperiksaan.

Daripada jumlah itu, 319 calon dari empat sekolah iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu dan sebuah di Kemaman, dipindahkan ke sekolah lain yang sesuai bagi memastikan mereka dapat mengambil peperiksaan itu dengan lancar.

-- BERNAMA