MALAYSIA
Akademi Sains Pendang wakil Malaysia ke FIRST Global Challenge 2025 di Panama

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam itu menyaksikan penyertaan pelajar berusia antara 14 dan 17 tahun dari pelbagai latar belakang, termasuk dari kawasan luar bandar.
KUALA LUMPUR: Lapan pasukan pelajar dari seluruh negara berentap dalam perlawanan akhir yang mendebarkan sempena Kejohanan Kelayakan Dunia FIRST Global Challenge Malaysia 2025, yang berlangsung di MRANTI Park, di sini.
Acara ini bertujuan memilih wakil rasmi Malaysia ke pertandingan robotik bertaraf dunia, FIRST Global Challenge 2025, yang akan diadakan di Panama City pada Oktober ini.
Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam itu menyaksikan penyertaan pelajar berusia antara 14 dan 17 tahun dari pelbagai latar belakang, termasuk dari kawasan luar bandar.
Mereka membina dan mengendalikan robot yang direka khas untuk menyelesaikan cabaran bertemakan 'Eco Equilibrium', iaitu usaha memulihkan habitat dan mengekalkan keseimbangan ekologi melalui inovasi STEM.“Kami amat bangga melihat semua peserta, dan kami akan sentiasa bersama memberi sokongan kepada mereka,” kata Ilylia Kamaruzzaman, pengasas Roboticist Malaysia, penganjur rasmi pertandingan.
Salah satu kisah yang mampu memberi inspirasi datang daripada Akademi Sains Pendang, yang buat pertama kalinya menyertai pertandingan ini.
Walaupun minggu ini merupakan minggu peperiksaan bagi pelajar mereka, pasukan tersebut sanggup mengorbankan masa belajar demi menyertai kejohanan ini.
Pengorbanan itu ternyata berbaloi apabila mereka muncul sebagai juara pertandingan dan diumumkan sebagai wakil rasmi Malaysia ke Panama nanti.
“Banyak cabaran, persiapan mereka dalam satu bulan sahaja. Dan kami dari sekolah berasrama penuh, kami sangat sibuk dengan program, dan sebenarnya minggu ini adalah minggu peperiksaan.
"Jadi, mereka korbankan masa sampai lewat malam semata-mata untuk persediaan pertandingan ini,” kata Nur Syahirah Muhammad Zabidi, guru pengiring dari Akademi Sains Pendang.
Sementara itu, peserta-peserta dari Akademi Sains Pendang yang ditemui berkata, mereka hadir dengan pemikiran untuk buat yang terbaik dan tidak menjangkakan kemenangan memandangkan banyak kumpulan lain yang lebih berpengalaman.
Majlis penutup program itu semalam turut menyaksikan pengumuman rasmi Team Malaysia serta pelantikan atlet Olimpik Malaysia, Nur Dhabitah Sabri sebagai mentor rasmi pasukan, membawa semangat patriotisme dan inspirasi kepada generasi muda ke dalam arena robotik.
Acara ini turut disokong oleh pelbagai pihak termasuk Lam Research, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), selaras dengan kempen global “Robotik sebagai Sukan” yang mengangkat bidang robotik ke tahap setara dengan sukan tradisional.
Dengan kejayaan penganjuran edisi tahun ini, Malaysia kini bersedia melangkah ke pentas dunia, membawa harapan dan inovasi anak muda ke pertandingan yang menghimpunkan lebih 180 negara di Panama City, Panama, pada Oktober akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami