PUTRAJAYA: Pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Mac 2026 dengan kadar pengangguran tidak berubah 2.9 peratus, disokong pertumbuhan guna tenaga yang berterusan dan penyertaan tenaga buruh, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Mac dan Suku Pertama 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata prospek ekonomi yang positif sepanjang bulan berkenaan, membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil.
“Tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 17.31 juta orang pada Mac 2026 berbanding 17.30 juta orang pada Februari, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja turut meningkat 0.1 peratus kepada 16.80 juta orang, berbanding 16.79 juta yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Pada masa sama, beliau berkata bilangan penganggur merekodkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.4 peratus kepada 509,000 orang berbanding 506,800 orang pada Februari, sekali gus menjadikan kadar pengangguran kekal pada 2.9 peratus.
Ketua Perangkawan itu berkata kategori pekerja merangkumi bahagian terbesar jumlah guna tenaga iaitu sebanyak 75 peratus, dengan peningkatan kecil kepada 12.60 juta orang pada Mac berbanding 12.59 juta sebelumnya.
“Pada masa sama, bilangan bekerja sendiri turut mencatat peningkatan 0.3 peratus kepada 3.14 juta orang berbanding 3.13 juta pada Februari,” katanya.
Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan guna tenaga, khususnya dalam aktiviti penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman, maklumat dan komunikasi, serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.
“Sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian turut merekodkan peningkatan guna tenaga, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat sedikit penurunan,” katanya.
Mengenai pengangguran, Mohd Uzir berkata penganggur aktif ditakrifkan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 79.7 peratus daripada jumlah penganggur, meningkat 0.3 peratus kepada 405,800 orang pada Mac berbanding Februari 404,700 orang.
Pada peringkat negeri, Mohd Uzir berkata Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu 1.3 peratus, diikuti Pahang 1.9 peratus, manakala Selangor dan Melaka masing-masing mencatat dua peratus.
Beliau berkata Wilayah Persekutuan Putrajaya turut merekodkan KPTB tertinggi iaitu 79.2 peratus, diikuti Selangor sebanyak 78 peratus dan W.P. Kuala Lumpur 76 peratus.
Melangkah ke hadapan, Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia dijangka terus stabil, disokong oleh asas domestik yang kukuh dan transformasi struktur yang berterusan.
“Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka lebih sederhana dan semakin dipengaruh perkembangan luaran, khususnya hala tuju krisis tenaga global dan situasi geopolitik.
“Sehubungan itu, perniagaan dan tenaga kerja perlu bersifat anjal dalam mengharungi persekitaran ekonomi yang lebih dinamik dan tidak menentu,” katanya.
-- BERNAMA