NATIONAL
Akibat selisih faham, sembilan lelaki ditahan disyaki merusuh guna senjata

Senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian ialah kayu besbol, parang, pedang samurai, topi keledar dan pisau panjang. - Foto IPD Ipoh
IPOH: Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes merusuh dengan senjata dalam satu kejadian di Jelapang dekat Meru Raya, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek warga tempatan berumur 19 hingga 41 tahun itu ditahan di lokasi berasingan kira-kira 6.45 pagi Isnin selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 36 tahun yang diserang sekumpulan lelaki dengan menggunakan senjata.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis BMW E90 3 Series dan sebatang kayu golf semasa serbuan dilakukan.
"Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada selisih faham berkaitan motosikal yang telah dirampas dalam kegiatan lumba haram."Sebanyak enam mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. Senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian ialah kayu besbol, parang, pedang samurai, topi keledar dan pisau panjang," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Abang Zainal Abidin berkata, dua daripada sembilan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah.
Beliau berkata, empat suspek direman selama tiga hari hingga 9 April manakala lima lagi suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan merusuh dengan menggunakan senjata.
"Oang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat kes, Insp Mohamad Al Hakim menerusi talian 011-11256246 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami