GEORGE TOWN: Cubaan seorang lelaki warga Indonesia membawa masuk 45 unit barangan disyaki tanduk haiwan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Bayan Lepas, Pulau Pinang berjaya digagalkan.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata percubaan itu dikesan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap bagasi seorang penumpang lelaki warga Indonesia berusia 57 tahun pada 20 Ogos lalu.
“Berdasarkan kepada pemeriksaan bagasi yang melibatkan seorang penumpang warganegara Indonesia yang menaiki penerbangan China Southern yang tiba dari Guangzhou, China yang membawa barangan disyaki hidupan liar tanpa kebenaran atau dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut AKPS, sebanyak 45 unit barangan disyaki tanduk haiwan ditemukan dalam pemeriksaan berkenaan dan kesemuanya disita dengan anggaran nilai RM5,000.
AKPS memaklumkan, barangan berkenaan dibawa tanpa kebenaran atau dokumen sah di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta 716.
Kesemua barangan yang disita kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk siasatan lanjut.
AKPS pada masa sama menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan.
Ia khususnya melibatkan pemerdagangan hidupan liar di pintu masuk antarabangsa negara.