MALAYSIA
AKPS keluarkan notis penolakan masuk lapan warga asing

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap lapan warga asing yang didapati tidak mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat. - Gambar fail Bernama
ALOR SETAR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap lapan warga asing yang didapati tidak mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat.
Menurut kenyataan AKPS, lapan individu termasuk tiga wanita dari Pakistan, India, Afghanistan, Indonesia dan Sri Lanka itu cuba memasuki Malaysia melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam.
"Secara keseluruhannya, sebanyak lima lelaki dan tiga wanita telah diberi NPM mengikut peruntukan Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63.
"Kesemua mereka diarahkan berpatah balik ke negara asal masing-masing melalui laluan masuk yang sama. Proses penolakan ini dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pekeliling jabatan yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.Tiada sebarang rampasan serta tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dilakukan dalam kes berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami