IPOH: Aktiviti pembinaan dan kerja naik taraf merupakan antara punca sebuah longkang berhampiran tapak Gerbang Malam di sini, dipenuhi sampah sarap sehingga menjadi tular.

Syarikat konsensi di bawah pihak berkuasa tempatan Perak, Puncak Emas Infra Sdn. Bhd, berkata susulan itu, pihaknya mengambil inisiatif membersihkan longgokan sampah yang terdapat dalam longkang terbabit.

Menurut Pengurus Seksyennya, Ir. Zainal Othman, hasil pemerhatian mendapati terdapat sampah sarap yang bercampur dengan sisa bahan binaan di dalam longkang tersebut.

"Telah tular satu video di media sosial Facebook berkenaan isu longkang berhampiran tapak Gerbang Malam yang telah dipenuhi sampah sarap.

"Video tersebut telah dimuat naik oleh orang awam pada pukul 4 petang semalam dan ia menjadi satu isu yang amat serius.

"Terdapat satu aktiviti pembinaan untuk menaiktaraf kawasan tersebut sedang giat dijalankan dan ia adalah salah satu punca utama kepada masalah ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya lagi, sampah sarap itu hanya terkumpul di kawasan berhampiran lot kedai yang sedang dalam proses ubah suai atau dinaik taraf.

Zainal berkata kawasan jajaran yang berbaki berada dalam keadaan baik dan terurus serta tiada sebarang halangan sampah.

"Hal ini dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut sehingga menyebabkan longkang tersebut dipenuhi pasir dan bahan binaan yang menghalang laluan air.

"Sekali gus pengaliran tidak dapat berjalan dengan sempurna, ditambah pula ketika cuaca hujan hingga menyebabkan sampah terkumpul di kawasan yang ditularkan," katanya.

Pihaknya juga mencadangkan supaya pihak yang terbabit dengan kerja pembinaan yang berhampiran kawasan dilaporkan menyediakan tong sampah 'roro' (tampung buangan pukal).

"Ia bagi menguruskan dan mengumpulkan sisa binaan secara teratur dan kemas, di samping tidak menjadikan longkang sebagai tempat untuk membuang lebihan binaan," katanya lagi.