PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi di sebuah premis di Taman Pandamaran Permai, Pelabuhan Klang, Selangor dalam satu serbuan semalam.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pasukan serbuan menemui lapan tong "Intermediate Bulk Container" (IBC) mengandungi minyak masak dan 250 kotak minyak masak paket sekilogram (kg) bersubsidi jenama SR Hijauan dan Cap Kebarung di premis terbabit.

Turut ditemukan dalam operasi kira-kira 2.30 petang itu ialah beberapa plastik minyak masak paket satu kg yang telah dipotong bungkusannya, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Kesemua minyak masak sebanyak 11,050 kg serta beberapa peralatan yang digunakan seperti pam penyedut minyak, hos getah, pelantar besi, gunting dan beberapa dokumen perniagaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM43,545," katanya.

Armizan berkata dipercayai modus operasi sindiket adalah membeli minyak masak paket satu kg bersubsidi dan disimpan di stor berkenaan.

"Minyak masak paket satu kg berkenaan seterusnya akan dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki IBC serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi," katanya.

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut kes berkenaan akan dibuat di bawah Subseksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

Ia juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) [Akta 613], katanya.

"Siasatan menyeluruh akan dilakukan untuk mengenal pasti individu atau syarikat dan rantaian pengedaran minyak masak yang terlibat," katanya mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan termasuklah didakwa di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 122 dan Akta 613.

-- BERNAMA