GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang masih menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula atau sebaliknya di negeri itu.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini, Jabatan Kesihatan negeri sudah mengemukakan analisis risiko terkini mengenai situasi COVID-19 di negeri itu kepada Kementerian Kesihatan.

"Memandangkan kes masih meningkat, JKN sekali lagi mengemas kini laporan penilaian risiko dan sudah dikemukakan kepada KKM supaya dapat dibentangkan pada sidang khas petang ini, dan saya percaya satu keputusan tentang hala tuju di Pulau Pinang akan dapat diputuskan," ujar Kon Yeow.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya Pulau Pinang kembali menjalani PKP, pihaknya percaya peraturan yang lebih ketat akan dilaksanakan khususnya melibatkan aktiviti sosial.

Penularan jangkitan menular dalam komuniti susulan terdapat kes berlaku di lapangan melibatkan aktiviti sosial dan sektor pendidikan.

"Penilaian risiko itu mencadangkan hala tuju tapi keputusan dibuat sidang khas. Walaupun pematuhan di sektor tinggi tapi setiap orang adalah hos. Dalam kes terkini, ada kes berlaku di lapangan kerana aktiviti sosial dan pendidikan, selain dalam kluster pekerja kilang dan sekarang meresap ke komuniti melalui aktiviti sosial. 

"Jadi, dipercayai apa-apa MCO (PKP) yang dikenakan akan mengetatkan aktiviti yang boleh membawa kepada merebaknya jangkitan ini," ujar beliau.

Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program E-Pembelajaran Pulau Pinang 2.0 di  Komtar, George Town pada Jumaat.

Pulau Pinang masih berada dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beberapa negeri sudah menjalani PKP semula susulan peningkatan kes mendadak antaranya di  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beberapa daerah serta mukim di Perak, Johor,  dan Terengganu.

Selain itu, PKP turut dikenakan di enam daerah di Selangor bagi membendung penularan wabak COVID-19.