Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa berkenan menziarahi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan.

Anak Mohamed Azmin, Farah Amira menerusi akaun Twitternya berkongsi dua gambar yang memaparkan Sultan Abdullah melawat ayahnya di wad hospital.

"Saya dan keluarga menjunjung kasih di atas keberangkatan Ke bawah DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang berkenan mencemar duli menziarahi Abah @AzminAli.

"Sesungguhnya, kepedulian dan kasih yang dizahirkan Tuanku adalah kekuatan diri Abah @AzminAli untuk kembali sihat dan berkhidmat demi rakyat dan negara," kata Farah Amira di laman Twitternya pada Selasa.



Bagaimanapun Farah Amira tidak mendedahkan di mana pusat perubatan dan rawatan yang diterima Mohamed Azmin.

Semalam, isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menziarahi Mohamed Azmin yang turut ditemani isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin.

-- BERNAMA