Alam Flora kutip 3.2 tan sampah di KL pada sambutan Ambang Tahun Baharu

Petugas Alam Flora gigih membersihkan sampah sarap yang berselerak di kawasan Bukit Bintang selepas sambutan Ambang Tahun Baharu 2026. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip kira-kira 3.2 tan sampah di tiga lokasi utama sekitar ibu negara sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, berkurangan kira-kira 11 peratus berbanding 3.6 tan pada tahun lepas.
Ringkasan AI
- Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip 3.2 tan sampah di Bukit Bintang, Dataran Merdeka, dan KLCC sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, menunjukkan penurunan 11% berbanding tahun sebelumnya.
- Operasi pembersihan melibatkan 152 anggota kerja dengan penggunaan 3 lori kompaktor dan pancuran air bertekanan tinggi di lokasi utama untuk memastikan kebersihan bandar raya.
- Inisiatif ini mencerminkan komitmen Alam Flora dan Malakoff terhadap kelestarian alam sekitar, keselamatan bandar, dan pembangunan mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Shariman Yusuf berkata KLCC mencatatkan jumlah kutipan sampah tertinggi sebanyak 1.4 tan, diikuti Bukit Bintang (1 tan) dan Dataran Merdeka (0.8 tan).
"Bagi memastikan kelancaran operasi, 152 anggota kerja digerakkan merangkumi petugas pengurusan, pasukan prapembersihan, pemandu dan pekerja am di lokasi utama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiga unit lori kompaktor digunakan bagi menyokong operasi kutipan sisa pepejal selain pancuran air bertekanan tinggi untuk membersihkan kaki lima, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai.
Shariman Yusuf berkata sebanyak 36 unit tong sampah mudah alih berkapasiti 660 liter dan 25 unit berkapasiti 240 liter turut ditempatkan di kawasan strategik bagi memudahkan pelupusan sampah secara lebih teratur.
Secara keseluruhan, beliau memaklumkan kutipan sampah tahun ini berada dalam keadaan terkawal, khususnya di Bukit Bintang.
"Jumlah kehadiran orang ramai di setiap lokasi berbeza bergantung kepada pilihan mereka untuk berkumpul bagi meraikan sambutan tahun baharu, namun pasukan kami sentiasa bersedia untuk menguruskan kutipan sampah secara cekap tanpa mengira jumlah kehadiran," katanya.
Shariman Yusuf berkata operasi itu mencerminkan dedikasi berterusan Alam Flora, yang merupakan sebahagian daripada Malakoff Environmental Solutions (Malakoff), terhadap kelestarian alam sekitar dan kebersihan bandar, selari dengan misi syarikat untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau.
"Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen Malakoff terhadap operasi yang bertanggungjawab, berpandukan tonggak perniagaan kumpulan serta aspirasi Malakoff Environmental Solutions yang memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan menyediakan penyelesaian yang didedikasikan untuk masyarakat dan kelestarian bumi," katanya.
Beliau berkata usaha itu juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bertujuan menjadikan bandar dan penempatan masyarakat yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan serta sejajar dengan tujuan menyeluruh Malakoff iaitu Enhancing Life, Enriching Communities.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


