Albert Tei disekat masuk Sabah, beri alasan jumpa kawan - Jabatan Imigresen

Albert Tei (tengah) disenaraikan dalam rekod Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif. - Gambar fail/Arkib
KUALA LUMPUR : Jabatan Imigresen Sabah menegaskan tindakan tidak membenarkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, memasuki negeri itu pada Khamis adalah berlandaskan prosedur yang sah dan mengikut undang-undang.
Menurut Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, hasil siasatan mendapati semasa pemeriksaan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), nama sebenar Albert Tei, iaitu Tei Jiann Cheing, disenaraikan dalam rekod Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif.
"Semasa ditemu bual, Albert Tei memaklumkan tujuan kedatangannya adalah untuk bertemu rakan, namun beliau tidak mengemukakan sebarang bukti atau dokumen sokongan bagi tujuan kemasukan ke negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Tambah SH Sitti Saleha, berdasarkan semakan lanjut, NAS yang dikenakan terhadap Albert Tei menetapkan beliau hanya dibenarkan masuk ke Sabah bagi menghadiri prosiding mahkamah.
"Disebabkan beliau tidak mengemukakan surat panggilan mahkamah semasa pemeriksaan, pegawai bertugas telah mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) kerana tidak mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat, seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian VII Peruntukan Khas bagi Malaysia Timur, Akta Imigresen 1959/63," jelasnya lagi.
SH Sitti Saleha turut memaklumkan Albert Tei pernah dibenarkan masuk ke Sabah pada September lalu selepas mengemukakan dokumen panggilan mahkamah kepada pegawai bertugas, menunjukkan beliau maklum tentang prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi.
Sehubungan itu, dakwaan peguamnya di Mahkamah Kota Kinabalu pada Jumaat yang mendakwa anak guamnya dihalang daripada hadir ke prosiding mahkamah adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar, tegas beliau.
Tegasnya, semua tindakan pegawainya dibuat berdasarkan Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak, memastikan setiap keputusan berpandukan undang-undang dan dokumen yang sahih.
Sementara itu, Albert Tei memfailkan permohonan untuk mengenakan perintah hina mahkamah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, selepas didakwa dinafikan kemasukan ke negeri itu dua kali ketika ingin menghadiri prosiding kes jenayahnya.
Menurut laporan sebuah portal tempatan, permohonan itu difailkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu melalui firma guaman Tetuan Chin Jingulam & Associates, dan akan didengar pada 24 November ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


