KUALA LUMPUR:Tiada apa yang membahagiakan artis serba boleh, Alif Satar selain daripada dibenarkan pulang ke rumah selepas disahkan sembuh daripada COVID-19.

Selama 12 hari menerima rawatan di Hospital Melaka, penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal itu berkongsi kegembiraan itu di akaun Instagram peribadinya pada Jumaat.

Kata Alif, dia sudah kembali ke pangkuan keluarganya di Kuala Lumpur dan akan mengambil masa beberapa hari sebelum kembali bekerja.

“Sukacita Alif ingin berkongsi, selepas 12 hari dikuarantin di Hospital Melaka, atas berkat doa seluruh rakyat Malaysia buat Alif sekeluarga, Alif kini kembali sihat dan sudah berada di pangkuan keluarga tersayang.

“Alif ucapkan terima kasih dan penghargaan buat semua pihak yang cukup prihatin atas segala yang berlaku dan bertindak pantas, mengambil tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil ujian saringan sejurus selepas Alif disahkan positif COVID-19.

“Sesungguhnya, rasa syukur yang tidak putus-putus Alif lafazkan buat Maha Kuasa apabila dimaklumkan bahawa semua yang terlibat di set penggambaran, rakan-rakan artis dan krew produksi negatif dan bebas daripada COVID-19.

“Selepas berjauhan dengan isteri dan anak-anak, Alif yakin ramai yang tahu dan dapat rasakan betapa berat perasaan rindu, jadi Alif mengambil beberapa hari untuk meluangkan masa bersama seluruh ahli keluarga sebelum Alif kembali bekerja seperti biasa,” tulisnya.

Dalam hantaran itu, bapa kepada tiga cahaya mata itu juga menyatakan harapannya agar seluruh masyarakat tidak memulaukan pesakit COVID-19 dan keluarga mereka memandangkan ini bukan sesuatu yang boleh dikawal sesiapa.

“Alif menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menghidupkan cogan kata Kita Jaga Kita dengan sepenuh jiwa bukan sahaja bagi membendung wabak ini, tetapi Kita Jaga Kita melalui kerjasama komuniti dalam melawan Covid 19.

“Maka, hentikanlah stigma negatif, memulau, mengasingkan dan memandang serong mereka yang terkesan dengan wabak ini. Tiada siapa yang minta untuk dijangkiti.

“Budaya negatif ini bukanlah ciri-ciri yang baik sebagai rakyat Malaysia terutama sekali buat kita yang beragama Islam, agama yang menitik beratkan sifat kasih dan sayang bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah tetapi juga sesama manusia,” kata Alif lagi.